Sunday, 28 April 2019

Institusi Masjid Akan Terus Diperkasa - MB Terengganu

SHARE
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
MARANG, 28 April - Institusi masjid di Terengganu akan terus diperkasa bagi membina dan membangunkan masyarakat yang lebih bertamadun.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, institusi itu mempunyai peranan yang sangat besar dalam pembentukan individu dan komuniti yang sejahtera.

Justeru itu, kerajaan negeri menerusi beberapa agensi akan memainkan peranan sebanyak mungkin bagi mencapai hasrat tersebut.

“Kita di negeri Terengganu ini insya-Allah akan memanfaatkan institusi masjid semaksima mungkin.

“Untuk membentuk dan menyelesaikan masalah yang begitu banyak dalam masyarakat kita terutamanya melibatkan anak-anak muda,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penutup Program Jom Ke Masjid, Masjid Ru Muda, di sini semalam.
 
Menyampaikan anugerah jasamu dikenang.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Masjid Ru Muda, Arif Ariffin, Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang, Hassan Awang serta wakil penganjur program, Ziyad Zakaria.  

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang turut menegaskan, ilmu adalah elemen penting dalam urusan pentadbiran dan pengurusan organisasi.

“Ilmu pengurusan dan pentadbiran, sama ada dalam kerajaan atau sesebuah lokaliti seperti masjid dan organisasi kampung mahupun daerah ada ilmu Islamnya yang telah kita tinggalkan sebegitu lama.

“Tinggal lagi kita sebagai generasi yang kemudian ini perlu meneroka, supaya ilmu yang ditinggalkan oleh Nabi S.A.W itu kembali digunakan dalam kehidupan seharian kita,” tambah beliau lagi.
 
Beramah mesra dengan penduduk yang hadir selepas program.
Program yang berlangsung sejak Khamis lalu itu adalah julung kali dianjurkan oleh Pemuda PAS DUN Ru Rendang dengan kerjasama Masjid Ru Muda. Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang karnival itu yang melibatkan kanak-kanak, anak muda dan golongan dewasa.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: