Thursday, 18 April 2019

Hutang Bina LPT2 Perlu Dilangsai

SHARE
Ketibaan Dr Ahmad Samsuri di Majlis 'MB Mari Kampung Kite' di dewan serbaguna sebuah pusat  membeli belah di Dungun hari ini. 

DUNGUN,  18 April - Kerajaan Persekutuan perlu menjelaskan hutang Pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sebanyak RM1.4 bilion kepada kerajaan negeri bagi menampung kekurangan sebanyak 25 peratus Bajet 2019 bagi negeri Terengganu.

Ini berikutan kerajaan persekutuan membuat pemotongan sejumlah itu ke atas royalti petroleum dan gas negeri Terengganu mulai tahun lepas. 

Justeru, Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar akan berunding dengan kerajaan persekutuan supaya kerajaan itu dapat membayar hutang  tersebut bagi menampung kekurangan peruntukan bajet  berkenaan. 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan orang ramai berhubung royalti tersebut di Majlis 'MB Mari Kampung Kite' Dalam Siri Jelajah Penerangan  Bajet 2019 peringkat daerah Kemaman dan Dungun di dewan serbaguna sebuah pusat membeli belah Kerteh di sini hari ini.

Katanya, dua minggu yang lepas, kerajaan pusat telah membayar kira-kira RM580 juta wang royalti kepada kerajaan Terengganu tetapi berkurang dari jumlah asal perlu dibayar, sebanyak lebih RM180 juta kerana dikatakan ia adalah untuk membayar hutang kerajaan negeri kepada kerajaan berkenaan.

"Wang royalti itu dibayar dua kali setahun termasuk pada akhir bulan Mac dan September. Jika potongan yang sama dibuat oleh kerajaan pusat, jumlah perolehan wang royalti untuk bulan September lebih kurang sama dengan bayaran bulan Mac yang lalu.

"Jika dicampur terimaan wang royalti tersebut jumlahnya tidak sama dengan jangkaan asal terimaan semasa pembentangan bajet 2019 dalam Dewan Undangan Negeri," jelas beliau.

Menurut beliau kerajaan negeri mengambil pendekatan melakukan penjimatan bajet sebanyak 25 peratus bagi menampung kekurangan hasil royalti tersebut.

Dr Ahmad Samsuri (lima dari kanan) diberi penerangan mengenai projek perumahan mampu milik sempena Program 'MB Mari Kampung Kite' di Kerteh hari ini.

Katanya, kerajaan negeri tetap meneruskan semua program yang ada di dalam bajet 2019  tetapi dengan pemotongan kos perbelanjaan sebanyak 25 peratus hasil kekurangan perolehan bayaran royalti tersebut.

"Ini bukan bermakna kemungkinan bajet itu kurang  sampai akhir tahun kerana kerajaan pusat perlu juga membayar hutangnya kepada kerajaan negeri.

"Kerajaan Persekutuan berhutang dengan kerajaan negeri kerana membuat LPT2 dengan jumlah kos sebanyak RM1.4 bilion.

Katanya, tanggungjawab membina lebuh raya adalah tanggungjawab kerajaan pusat kerana jalan berkenaan adalah jalan persekutuan.

"Maka kos itu patut dibiayai oleh kerajaan pusat dan itu adalah amalan pentadbiran kerajaan  untuk mana-mana pembinaan lebuh raya di seluruh negara.

"Bagaimana pun duit untuk membina LPT2 dipinjam daripada kerajaan negeri sebanyak RM1.4 bilion, itu kita nak minta balik daripada kerajaan pusat," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, kerajaan negeri dalam proses berunding dengan kerajaan pusat untuk menyelesaikan bayaran balik hutang tersebut.

Dalam masa yang sama kata beliau, kerajaan persekutuan juga masih berhutang dengan kerajaan negeri sejumlah RM400 juta lagi.

"Jadi jika kerajaan pusat berkira hutang kita dengan kerajaan itu, kita pun berkira jugalah dengan hutang kerajaan pusat dengan kerajaan negeri," tegasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: