Wednesday, 24 April 2019

Hapus Lesen Ali Baba, Ketatkan Kawalan Perairan Negara

SHARE
Wakil Nelayan Pantai Timur (dua dari kiri) menyerahkan memorandum kepada Dr Azman (tiga dari kiri) di Muara Sungai Terengganu. Foto oleh - Wan Luqmanul Hakim
KUALA TERENGGANU,  24 April - Kerajaan Pusat perlu bertindak tegas menghapus lesen tangkapan ikan secara 'ali baba' dan mengetatkan kawalan perairan negara dari pencerobohan nelayan asing. 

Ini kerana nelayan tempatan cukup terganggu dengan kehadiran bot nelayan asing khususnya bot laut dalam dari negara vietnam sejak akhir-akhir ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri telah mencadangkan semua jabatan penguatkuasaan laut membentuk satu penyelarasan arahan (single command system) bagi mengatasi masalah tersebut.

"Apa yang paling penting ialah semua jabatan yang terlibat dengan penguatkuasaan undang-undang di laut termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim, Jabatan Perikanan, Jabatan Laut, Polis Marin dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) perlu duduk semeja bagi membincangkan bagaimana segala aset kekuatan yang sedia ada boleh dimanfaat secara yang paling optimum untuk mengatasi masalah tersebut.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada kira-kira 200 nelayan Pantai Timur termasuk dari Terengganu, Kelantan dan Pahang yang berdemonstrasi mengenai isu tersebut berhampiran Taman Shah Bandar di sini hari ini.

Katanya, kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan tersebut kepada kerajaan pusat memandangkan di Pantai Timur sekarang, sumber perikanan negeri sudah sampai kepada tahap amaran warna merah (kritikal).

"Sumber perikanan kita sudah sangat kritikal terutama bagi nelayan pantai. Sebab itulah kita cuba pertingkatkan dari segi program untuk memperkayakan sumber.

"Di Terengganu kita tekankan dari segi labuh tukun dan labuh unjam, kita memperkayakan balik sumber dengan cara demikian. Tetapi segala yang kita buat ini akan musnah jika pencerobohan nelayan asing tidak dibendung," jelasnya.

Katanya, nelayan asing khususnya nelayan vietnam telah memusnahkan khazanah laut negeri dengan menggunakan pukat gandeng yang lebih besar bahayanya berbanding pukat tunda.

"Jadi program kita jadi macam 'Pak Pandir', sia-sia sahaja apa yang kita buat selama ini kerana ia tidak bermanfaat akibat pencerobohan itu.

"Isu ini adalah isu bersama apabila nelayan asing boleh masuk ke perairan kita sampai ke Pulau Tenggol, Dungun dalam kes yang terbaru.

"Kita anggap ia suatu yang sangat serius bukan bersabit curi ikan atau curi gamat tetapi ia bersabit soal kedaulatan negeri dan negara kita dan ini adalah satu isu besar," tegasnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: