Monday, 1 April 2019

Hakisan Tebing Sungai Tanjung Sabtu Akan Ditangani Segera

SHARE
Dr Khairuddin memantau tebing yang terhakis.

Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 1 April - Hakisan yang berlaku sepanjang 2.5km di tebing sungai Kampung Tanjung Sabtu akan ditangani secepat mungkin.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kawasan berkenaan boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk jika tidak dipantau dengan segera.

Jelasnya, kebimbangan penduduk itu akan diselesaikan secepat mungkin dengan kerjasama beberapa pihak berkuasa.  

“Hakisan ini telah meresahkan dan membimbangkan penduduk terutama penduduk yang tinggal berdekatan dengan sungai.

Pihak Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN) akan mengambil tindakan segera dan akan mengambil pandangan daripada pihak berwajib seperti Pihak Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading serta Jabatan Penyelenggaraan dan Saliran (JPS), ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika memantau kawasan sungai yang dilanda hakisan itu di Kampung Tanjung Sabtu, Buluh Gading kelmarin.

Sementara itu, menurut Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Buluh Gading, Md Fauzi Mustaffa yang turut hadir berkata, hakisan berkenaan turut mendatangkan kerugian kepada masyarakat sekitar.

Jelasnya, tindakan yang berkesan perlu diambil segera bagi mengelakkan tragedi yang sama berulang.

Penduduk-penduduk Kampung Tanjung Sabtu yang membina rumah di sepanjang sungai mengalami kerugian yang besar kerana tanah-tanah mereka hilang dibawa air pada setiap kali berlaku banjir.

“Ada di kalangan mereka yang hanya mempunyai geran tetapi sudah tidak ada tanah akibat hakisan dan yang amat membimbangkan kami jika tiada tindakan yang diambil oleh pihak berwajib”

“Kampung Tanjung Sabtu mesti diselamatkan daripada hakisan yang sentiasa berlaku setiap tahun,” tambah beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: