Monday, 22 April 2019

Gunung Sarut Tarikan Baharu Pelancongan Di Setiu

SHARE

Oleh : Ariss Alias

SETIU, 22 April - Gunung Sarut bakal dijadikan destinasi pelancongan terbaharu di daerah ini.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri(DUN) Langkap,  Azmi Maarof, berkata usaha ini menjadi salah satu hasrat beliau untuk menaikkan nama daerah Setiu dan DUN Langkap secara khususnya dalam sektor pelancongan.

Katanya, Gunung Sarut yang berada dalam kawasan Hutan Lipur Lata Payung bakal menjadi perhatian pengunjung dengan kehadiran flora dan fauna yang mempesonakan.

"Uniknya di sini, kita akan melalui Lata Payung terlebih dahulu dan Sebelum sampai ke "camp site" pelawat boleh singgah di kolam "bluepool" yang amat jernih airnya.

"Di kawasan "camp site" pula terdapat kawasan pokok bonsai yang memukau mata termasuk  laluan haiwan seperti tapir yang melintasi trek ke puncak dan pelawat berkesempatan untuk melihat sendiri tapir sekiranya bertuah,"ujarnya.


Beliau berkata sedemikian di sidang media selepas program Kembara Rimba Gunung Sarut anjuran Pusat Khidmat DUN Langkap, baru-baru ini.

Katanya yang turut serta dalam program tersebut, beliau ingin merasai sendiri pengalaman meneroka keindahan alam ini secara lebih dekat.

"Saya turut bersama dengan 19 peserta yang lain dalam program ini
dan Alhamdulillah saya dapat menawan puncak yang berketinggian 1229 meter dari paras laut, yang merupakan puncak gunung tertinggi di daerah ini walaupun usia sudah mencecah 58 tahun," ujar Azmi lagi.

Tambah beliau, kerjasama dan perancangan turut dilaksanakan bersama pihak Pejabat Daerah Setiu dan Majlis Daerah Setiu bagi membaikpulih infrastruktur di kawasan Hutan Lipur Lata Payung.

"Terasa amat rugi kita mempunyai banyak khazanah alam tapi tidak dimanfaatkan dengan cara sepatutnya. InsyaAllah penduduk setempat juga akan merasa limpahan ekonomi daripada pembangunan ini nanti,"katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: