Thursday, 11 April 2019

Guna Peluang Lanjut Pengajian Untuk Jadi Yang Terbaik - Satiful Bahri

SHARE
Para pelajar bergambar bersama YB Satiful Bahri selepas tamat Kem Bina Insan.



Oleh : Amiirullah Mansor

KEMAMAN, 10 April - Pelajar yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke Mesir perlu berusaha menjadi individu yang terbaik dengan membuat persiapan secukupnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, pelajar perlu memperkasakan pemikiran dan akidah demi memikul tanggungjawab yang besar semasa berada di sana.

“Ini kerana kita akan berhadapan dengan pelbagai ideologi yang boleh mempengaruhi diri.  

"Mereka umpama mata rantai yang akan meneruskan jalan pejuangan ditinggalkan oleh Rasulullah SAW untuk disebarkan kepada masyarakat.

"Inilah bebanan dan tanggungjawab mengangkat martabat ilmu pengetahuan dan risalah yang ditinggalkan untuk kita," katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup Kem Bina Insan Kursus Persediaan Ke Mesir 2019, di Darul Iman Training Centre (DITC) Kemaman, di sini, baru-baru ini.
 
Satiful nasihat pelajar gunakan peluang dengan sebaiknya.
Seramai 78 pelajar berjaya melanjutkan pengajian bagi sesi pengambilan akan datang menyertai kem berkenaan.

Dalam majlis tersebut, kerajaan negeri memaklumkan bahawa Pertubuhan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Terengganu akan bertindak sebagai wakil menguruskan persediaan dan menghantar  pelajar berkenaan ke bumi anbia itu.

Kerajaan turut mengumumkan bantuan awal pengajian daripada Yayasan Terengganu (YT) bernilai RM1,000 dan bantuan awal pengajian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu sebanyak RM2,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu turut berpesan, selain pendidikan formal, kemahiran kepimpinan juga perlu dititikberatkan oleh setiap pelajar bagi mewujudkan kemahiran dalam mentadbir sesuatu organisasi.

"Bentuklah karisma dalam diri kita dengan sentiasa bersama jemaah untuk melatih kita menjadi seorang pemimpin yangg akan mewarisi masa hadapan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan, hasrat kerajaan negeri untuk meletakkan Islam sebagai dasar utama dalam semua perkara.

"Saya berharap saudara sekalian dapat merealisasikan hasrat kerajaan kerana hanya kita sahaja (kumpulan pelajar dari Terengganu) yang lebih menumpukan ilmu berkaitan agama,” katanya.

Kumpulan pelajar berkenaan akan berangkat ke Mesir pada 19 dan 20 April ini.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: