Sunday, 14 April 2019

Fuad Rampas Kembali Kejuaraan Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu

SHARE

SETIU, 14 April - Atlet kuda lasak negara, Mohammad Fuad Hashim, 29, berjaya merampas kembali gelaran juara Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Di-Pertuan Muda Terengganu 2019 yang berlangsung mulai petang semalam di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong, di sini.

Penunggang dari pasukan State Terengganu Endurance Team (STET) itu menamatkan perlumbaan sejauh 120 kilometer dengan catatan masa 7 jam 24 minit dan 21 saat membawa pulang wang tunai RM10,000, piala pusingan, plak iringan, pingat dan jaket. 

Beliau yang pernah muncul sebagai juara pada edisi 2016 dan 2017 meraih kemenangan berganda apabila kudanya, Mora Makaka dinobatkan kuda terbaik dan sekali gus membolot hadiah wang tunai RM5,000, plak dan hadiah iringan buah-buahan.

Tempat kedua dimenangi Mohd Yunus Abdullah dari pasukan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) yang ketinggalan lebih sejam di belakang dengan hadiah wang tunai RM7,500, plak, medal dan jaket. 


Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong, hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.

Turut mengiringi, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, Tuan Faezah Tuan Abd Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah serta barisan Exco kerajaan negeri.

Mohammad Fuad ketika ditemui pemberita bersyukur dapat mengulangi kejayaan untuk kali ketiga selepas tahun lalu gelaran juara berpihak kepada Azizatul Asma Abdullah walaupun hakikatnya, Mora Makaka mengalami masalah di samping cabaran dari segi cuaca yang perlu dilalui.

“Cuaca panas kali ini agak mencabar berbanding kejohanan lalu dan saya terpaksa beberapa kali memperlahankan pergerakan kerana lebih mengutamakan keadaan Mora Makaka bagi mengelak sebarang kecederaan.

"Saya kini dalam proses persiapan untuk menyertai Sultan Mizan Cup pada bulan Oktober nanti dan sekarang ini sedang menjalani latihan berkala selang sehari," ujarnya.

Sementara itu, bagi kategori berpasukan pula dimenangi Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) yang diwakili Che Mat Din, Mohd Yunus Abdullah, Jasryn Jaffly, Mohd Bulkhari Rozali dan Dr Ahmaf Naqib dengan catatan masa 25 jam 20 minit dan 32 saat,  sekali gus membawa pulang wang tunai RM7,500, plak iringan dan medal. 

Naib juara kategori berpasukan disandang oleh STET dengan catatan masa 29 jam, 36 minit dan 35 saat dengan membawa pulang wang tunai RM5,000, plak iringan dan medal. 

STET diwakili Mohammad Fuad,  Azizatul Asma,  Mohd Suhairi, Saikh Ahmad Safwan dan Mohd Firdaus. 












SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: