Sunday, 21 April 2019

Festival Mazu : Kerajaan Negeri Hormati Kepelbagaian Budaya

SHARE
Foto oleh: Pok Abbas
KUALA TERENGGANU, 21 April - Festival Mazu yang disambut secara besar-besaran oleh kelompok masyarakat Hainan yang terdiri daripada kaum Cina membuktikan KerajaanTerengganu menghormati kepelbagaian budaya di negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, sambutan tersebut membawa pulangan kepada negeri Terengganu dengan kedatangan pelancong dari luar.

“Saya difahamkan tahun ini adalah tahun ketiga sambutan Festival Mazu dan sekarang ini (sedang) berlangsung perarakan darat daripada pelbagai negeri antaranya Perak, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur yang mewakili kebudayaan dan kepercayaan  masing-masing.

“Sebenarnya kehadiran di sini bagi meraikan mereka dan menghargai satu festival tradisi kebudayaan. Program ini sangat bagus terutama kepada anak-anak kita agar mereka melihat sendiri apakah tradisi masyarakat Cina,” jelasnya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Festival Mazu di Hotel Seri Malaysia, kelmarin.

Oleh itu katanya, perpaduan nasional memainkan peranan penting dalam memupuk sikap hormat-menghormati budaya lain dan meraikan sambutan bersama mereka.
  
“Kerajaan Terengganu menyambut baik program seperti ini. Kita memberi kerjasama sekali gus memasukkan program seumpama ini dalam takwim pelancongan kerajaan.

“Kita meneruskan agenda sebegini sebagai salah  satu tarikan dan sekali gus menggalakkan industri pelancongan di negeri Terengganu,” ujarnya.

Turut hadir ialah Presiden Chinese Chamber Terengganu, Datuk Low Whan Chong, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Terengganu, Martin Tok, Pegawai Daerah Marang dan Pegawai Khas Menteri Besar, Dr Bala Chandran.



SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: