Tuesday, 16 April 2019

ECRL Diteruskan : Kontraktor Kecil Bumiputera Disaran Tubuh Konsortium - MB Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 16 April – Kontraktor kecil khususnya Bumiputera di negeri ini disaran supaya menubuhkan satu konsortium bagi merebut peluang dalam pembinaan projek mega Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan kerajaan meneruskan projek berkenaan akan memberi manfaat ekonomi bukan sahaja kepada usahawan, tetapi juga kepada kontraktor tempatan.

Katanya, kerajaan negeri turut mengalu-alukan keputusan Kerajaan Pusat untuk meneruskan ECRL dan akan memastikan kontraktor Bumiputera terutamanya dari Malaysia dan khususnya di Terengganu mendapat manfaat daripada projek mega itu.

“Kita alu-alukan peningkatan dari 30 peratus kepada 40 peratus penyertaan ini dari kalangan tempatan dan kita harap kontraktor dari Terengganu khususnya dapat menyumbang walaupun kita tahu projek ini projek besar dan mungkin syarikat-syarikat kontraktor di negeri ini ada sedikit kesukaran untuk masuk dalam sistem tender pelaksanaan projek.

“Saya percaya inilah masanya mereka mengambil peluang dengan mewujudkan konsortium atau perkumpulan mereka yang mempunyai kepakaran pelbagai supaya mereka dapat terlibat dalam projek ECRL walaupun tidak banyak..mungkin dalam bentuk yang kecil dan perbincangan di peringkat syarikat-syarikat perunding kontraktor Terengganu khususnya haruslah diteruskan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian di Majlis Jalinan Mesra Kelab Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Terengganu ( KUPEKMAS) dan Presiden KUPEKMAS Malaysia di kediaman Seri Iman, di sini, hari ini.


Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato' A. Rahman Yahya; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Presiden KUPEKMAS Malaysia, Dato' Omar Osman.

Jelasnya lagi, pembinaan ECRL akan memberi manfaat kepada rakyat Terengganu dan akan mencetuskan gelombang ekonomi sekiranya diuruskan dengan baik kerana menjadi pemangkin bahan industri yang ada di negeri ini.

“Dalam masa yang sama, ECRL akan melibatkan pembinaan stesen-stesen dan oleh kerana penjimatan kos, maka kita cadangkan untuk mewujudkan  stesen satelit yang menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi kepada penduduk sekitar. Contohnya, di stesen Pengkalan Berangan, stesen itu bukannya dibina dalam satu bangunan sahaja, ia perlu ada kedai, perumahan, perkhidmatan yang mana perlu direbut oleh rakyat Terengganu.

“Jadi kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak yang mendapat konsesi ini bersama-sama dengan  Kerajaan Pusat, bagaimana pihak negeri boleh terlibat dalam membantu anak-anak Terengganu boleh terlibat dalam aktiviti di titik-titik  perhentian dan sebagainya,”ujar beliau.


Malah katanya lagi, penduduk Terengganu tidak perlu khuatir dan keliru dengan pembaharuan jajaran yang dilakukan itu kerana negeri ini akan menerima enam stesen ECRL.

Berdasarkan cadangan baru perubahan jajaran ECRL itu, enam stesen yang berkenaan akan dibina di Terengganu iaitu di Chukai, Kemasik, Dungun, Pengkalan Berangan, Kuala Terengganu dan Kampung Raja.

Projek berkenaan diumum bakal diteruskan selepas kerajaan dapat mengurangkan kos keseluruhan projek sebanyak RM21.5 bilion, menjadi hanya RM44 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion sebelum ini.

Projek ECRL ini akan disambung semula selepas perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) ditandatangani.

Selain pengurangan kos, jajaran baru dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan ke Port Klang juga bakal menyaksikan jarak yang lebih pendek; 648 km berbanding 688 km.

ECRL akan meliputi jajaran baharu meliputi dari Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: