Wednesday, 17 April 2019

Drawbridge Terengganu Beroperasi Aidilfitri Ini - MB

SHARE

KUALA TERENGGANU, 17 April - Kerajaan negeri optimis jambatan angkat atau `drawbridge’ yang menghubungkan muara selatan di Kuala Terengganu (KT) dan muara utara di Seberang Takir dapat digunakan sebelum Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sekiranya tiada apa-apa halangan, drawbridge yang menjadi mercu tanda baharu bagi negeri ini dijadualkan akan beroperasi sepenuhnya awal Jun ini.

Kita jangka drawbridge akan disiapkan sepenuhnya akhir bulan ini di mana tempoh sebulan diambil sebelum diserahkan kepada kerajaan negeri yang dijangka pada 30 Mei.

“Buat masa ini drawbridge masih lagi di bawah pengurusan pihak Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) sebelum diserah kepada kerajaan negeri.

“Sekiranya segala proses dapat disiapkan termasuklah urusan jalan raya di kawasan sebelum naik drawbridge itu (KT-Seberang Takir), kita optimis ianya boleh digunakan sebelum hari raya nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, apabila siap kelak dan semuanya berjalan lancar, drawbridge diharapkan dapat mengurangkan kesesakan jalan raya pada musim perayaan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: