Wednesday, 17 April 2019

Chicken Cottage ‘Peremajaan Semula’ - MB Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 17 April - Rangkaian restoran makanan segera berjenama antarabangsa yang berpangkalan di London, Chicken Cottage dan beroperasi di cawangan Kuala Terengganu akan melalui proses rejuvenate (peremajaan semula).

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keseluruhan cawangan Chicken Cottage termasuk dalam dan luar negara kini sedang melalui proses penelitian semula terhadap segala aspek untuk mengurangkan kerugian yang dialami.

“Kita akan buat proses rejuvenate di Chicken Cottage cawangan Kuala Terengganu termasuk akan dipindahkan ke Mayang Mall apabila siapnya tempat yang dijangka lebih menjadi tumpuan ramai itu nanti.

“Buat masa ini, kita dalam proses untuk hentikan sementara operasinya sehingga dibuka kembali di Mayang Mall yang mungkin akan mengambil masa selama dua tahun sehingga pusat membeli belah baharu tersebut siap,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, dalam tempoh tersebut, semua kakitangannya akan ditempatkan secara sementara di anak syarikat kerajaan negeri yang lain dengan melihat kepada kesesuaian dan proses penempatan tersebut akan dilakukan selepas Aidilfitri nanti.

“Dengan pilihan, mereka ini akan beri keutamaan untuk bekerja kembali di Chicken Cottage yang dijadualkan akan beroperasi di Payang Mall dalam masa dua tahun akan datang,” ujarnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: