Monday, 15 April 2019

Belia Bukit Besi Akan Dibantu Dapat Kerja

SHARE

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 15 April - Golongan belia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi bakal dibantu mendapatkan pekerjaan melalui Program Kembara Kerjaya yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Bukit Besi, di sini, pada 27 April ini.

Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman berkata, program julung kali itu anjuran bersama DUN itu dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

"Alhamdulillah hasil perbincangan dan perjumpaan dengan pihak JTK mereka bersetuju untuk mengadakan program ini dalam membantu para belia yang masih belum mendapat pekerjaan.

"Program ini juga terbuka kepada mereka yang masih belum mendapat pekerjaan yang tetap dan ianya melibatkan banyak majikan dari seluruh Terengganu dan luar Terengganu.Insya-Allah akan ada rezeki untuk para belia yang hadir," jelasnya.

Beliau berkata demikian ditemui pihak media Urusetia Penerangan Darul Iman pada majlis usrah  di Masjid Kampung Padang Ping, Bukit Besi, di sini, semalam.

Menurutnya, pihak JTK meminta untuk dihebahkan kepada golongan muda yang berminat supaya mengisi permohonan menerusi talian http://www.jobsmalaysia.gov.my bagi melalui proses temuduga pada program berkenaan.

"Peserta juga perlu membawa segala dokumen serta sijil-sijil akademik yang berkaitan.

" Kita mengharapkan agar para belia Bukit Besi hadir seramai yang mungkin pada program yang diadakan pada julung-julung kali ini, ianya demi memastikan kesejahteraan dan masa depan yang baik untuk golongan belia di sini," ujarnya.

Sehubungan bagi melancarkan program berkenaan, Ghazali memberitahu, arahan juga dikeluarkan kepada semua MPKK bagi mencari seramai mungkin golongan belia yang menganggur di DUN berkenaan.

Tambahnya, program itu juga mendapat kerjasama Institusi Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Besi bagi memastikan segala urusan dapat berjalan dengan lancar.

"Mudah-mudahan usaha ini akan diberkati oleh Allah dalam memastikan Bukit Besi ke arah kesejahteraan, bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri maju, berkat dan sejahtera," ujar beliau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: