Monday, 15 April 2019

Anak Muda Perlu Dalami Seni Warisan Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 15 April – Kerajaan negeri menyeru kepada golongan belia supaya membuka minda dan menanam minat  untuk mempelajari dan mendalami ilmu seni warisan serta kemahiran masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata,  ia amat penting demi memastikan kelangsungan budaya negeri agar tidak pupus di telan arus masa.

 “Negeri Terengganu kaya dengan tinggalan warisan dan budaya masyarakat Melayu tetapi jika diperhatikan beberapa warisan itu kian menghilang dan kemungkinan akan pupus. Ini kerana kurangnya golongan pelapis untuk meneruskannya.

“Perkara seperti ini perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana ia penting demi menjaga identiti kita sebagai masyarakat Melayu Terengganu khususnya dan Malaysia umumnya,” jelasnya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata demikian ketika berucap di Majlis Symposium On Islamic Tourism 2019 di Hotel Paya Bunga Square, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (pelancongan) Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre, Dato’ Seri Abdul Khani Daud.

Ariffin berkata, anak muda pada zaman sekarang  kurang berminat untuk mempelajari dan mendalami kemahiran pertukangan  kayu dan ukiran.

“Terengganu pada suatu masa dahulu terkenal dengan kemahiran membina bot atau ‘boatbuilders’. Hari ini tinggal hanya beberapa orang sahaja di Pulau Duyong  yang berkemahiran dalam pertukangan  kayu seni bina bot dan kebanyakan mereka sudah semakin meningkat usia.

“Begitu juga dengan seni ukiran yang semakin pupus. Seni ukiran ini  banyak diguna pakai  dalam pembinaan rumah. Kini untuk mencari  tukang ukir  tidak semudah dulu  kerana tidak ramai  yang mempunyai kemahiran itu. Saya kira  perkara ini bukan hanya dialami di Terengganu tetapi juga di negeri-negeri lain,” ujarnya.


Menurut Ariffin, kajian mengenai seni dan budaya Islam dapat dibuat dan diperbanyakkan pada masa akan datang serta dikongsikan melalui medium seperti hari ini.

Justeru itu, beliau juga menyeru kepada semua agar sama-sama berganding bahu memulihara  tinggalan warisan dan memelihara budaya kita yang unik.







SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: