Wednesday, 24 April 2019

Akta Perikanan 1985 Perlu Dipinda

SHARE
Foto oleh: Syed Kamal
KUALA TERENGGANU, 24 April - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim mencadangkan agar Akta Perikanan 1985 dipinda bagi membolehkan undang-undang lebih berat dilaksanakan untuk mengatasi pencerobohan nelayan asing di laut Malaysia yang semakin berleluasa hari ini.

Katanya, tidak dinafikan bahawa pencerobohan nelayan Vietnam dikatakan menggugat ketenteraman dan kesejahteraan komuniti nelayan tempatan.

"Permasalahan yang timbul, bukanlah didorong oleh penguatkuasaan yang lemah semata-mata tetapi hakikatnya banyak lagi perkara yang perlu diperhalusi dan diambil tindakan oleh pihak-pihak berkepentingan.

"Salah satunya adalah perkara berkaitan perundangan yang mencakupi akta sedia ada berkenaan perikanan negara yang perlu dirombak dan diperbaiki di samping memperkenalkan undang-undang yang lebih berat kepada para pelaku yang menceroboh dan melanggar undang-undang Malaysia," tegasnya.


Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan akhbarnya yang diedarkan di Muara Sungai Terengganu di sini hari ini berikutan demonstrasi nelayan Pantai Timur berhubung pencerobohan nelayan Vietnam yang berleluasa di Perairan Terengganu sejak akhir-akhir ini.

Kira-kira 200 Nelayan Pantai Timur termasuk dari Terengganu, Kelantan dan Pahang berhimpun di situ dan kira-kira 40 buah bot nelayan Terengganuyang dipasang dengan pelbagai sepanduk, berlabuh di tempat yang sama.

Mereka mendesak Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan segera membenteras lesen menangkap ikan secara 'Ali Baba' dan pencerobohan nelayan Vietnam di perairan Terengganu di atasi secara lebih berkesan.

Seterusnya Haji Ahmad Amzad berpendapat, masalah tersebut boleh ditangani dengan mengambil kira semangat ASEAN dan hubungan diplomatik antara dua buah negara yang berdaulat.



"Tindakan seperti mengeluarkan nota bantahan diplomatik menerusi Kementerian Luar Negeri, menganjurkan forum-forum khas, mengadakan mesyuarat 'working group' dan menjalinkan perkongsian maklumat perisikan antara agensi penguatkuasaan dua negara dipercayai dapat menangani isu pencerobohan bot nelayan Vietnam ini secara holistik.

"Saya berpandangan menteri-menteri yang diberi mandat dalam hal ehwal perikanan dan maritim harus berpandangan lebih jauh dan realistik untuk menangani isu Bot Nelayan Vietnam dan Bot Nelayan Asing yang juga berkait rapat dengan isu hasil tangkapan yang tidak sah, penangkapan ikan secara haram dan tidak dilaporkan (illegal, unreported and unregulated fishing (IUU)," jelas beliau.

Katanya, inilah masanya untuk para menteri melancarkan strategi yang tegas dan jelas dalam situasi Vietnam yang telahpun diberi kad kuning oleh Kesatuan Eropah supaya suara dan tindakan Malaysia memerangi pencerobohan nelayan-nelayan asing didengar, dilayan dan mendapat respon positif daripada masyarakat antarabangsa.


Oleh itu jelasnya, tiada lagi kegusaran di pihak-pihak tertentu untuk mencabar integriti pegawai dan anggota penguatkuasa menjalankan tugas mereka di laut yang sememangnya mempunyai pelbagai kekangan.

"Sungguh pun begitu, saya berharap kerajaan akan meneruskan program-program pembangunan dan mengupayakan agensi penguatkuasa maritim serta mengambil tindakan proaktif terhadap masalah-masalah yang dihadapi," ujarnya lagi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: