Saturday, 13 April 2019

Abdul Hadi Terima Anugerah Mursyid Ummah

SHARE

Abdul Hadi Awang menerima anugerah Mursyid Ummah.
KUALA TERENGGANU, 13 April - Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang diumumkan sebagai Mursyid Ummah sempena Himpunan Pendidik Islam Malaysia (HPIM) 6.0.

Pengarah HPIM 6.0, Normala Sudirman berkata, Abdul Hadi dipilih atas jasa bakti serta penglibatan untuk memartabat dan menerajui ummah, khususnya dalam tarbiyah Islamiyah dan pembangunan kerohanian berteraskan maqasid syariah.

"Anugerah itu sekali gus untuk menghargai jasa-jasa dan sumbangan beliau yang tidak pernah jemu berjuang untuk mengangkat islam.

"Usaha beliau juga berjaya melahirkan ramai pendidik yang berkualiti dalam segenap bidang," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program HPIM 6.0 Peringkat Kebangsaan di Stadium Negeri, di sini hari ini.

Normala Sudirman.
Anugerah itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Turut hadir, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Mohd Amar Nik Abdullah, Mursyidul Am PAS,  Dato' Hashim Jasin dan Ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Terdahulu, Abdul Hadi turut  berucap memberi nasihat dan motivasi dalam slot kalam murabbi pada program tersebut.

Abdul Hadi yang juga bekas Naib Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS) dilahirkan pada 20 Oktober 1947 di Marang, Terengganu.

Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat ijazah (M.A) di Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Siasah Syar'iyyah dan berjaya menamatkannya dalam tempoh dua tahun.

Himpunan Pendidik Islam Malaysia.
Presiden PAS itu juga bergiat aktif dalam kegiatan politik antarabangsa apabila pernah menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Muassasah Al-Quds yang dipengerusikan Sheikh Yusuf al-Qaradawi.

Beliau juga antara tokoh yang disegani di peringkat global apabila menjadi ketua perunding bagi mendamaikan krisis perang di Yaman pada tahun 2010.

Selain itu, beliau juga merupakan tokoh penting dalam pertemuan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Butros Ghali dan Ahli Senat Amerika Syarikat bagi menyelesaikan kecelaruan politik antarabangsa.

HPIM 6.0 menghimpunkan semua pendidik daripada pelbagai institusi pendidikan seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR), tahfiz, madrasah, pondok, Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) serta sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: