Wednesday, 24 April 2019

8,509 Beg Jahitan Tangan Catat MBOR

SHARE



KUALA TERENGGANU, 24 April-  Penyertaan 57 penggiat bidang jahitan dari Terengganu bersama-sama 896  peserta lain dari seluruh negeri berjaya menjahit 8,509 pelbagai jenis beg tangan dalam program  Himpunan Beg Terbanyak Di Malaysia

Bilangan beg yang dihasilkan dengan pelbagai rekaan, teknik jahitan, corak, fabrik dan bahan mentah yang berlainan itu berjaya memecahkan Malaysia Book Of Records (MBOR).
  
ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor, berkata  semua beg itu merupakan hasil tangan rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum antaranya Melayu, Cina, India, Orang Asal dan etnik-etnik di Sabah dan Sarawak.

Katanya, tujuan majlis itu diadakan adalah untuk meraikan penggiat kraf bidang jahitan kreatif yang berjaya menciptakan rekod kebanggaan Malaysia  yang baru.

“Pendekatan  ini  membuktikan bidang jahitan kreatif bukan hanya boleh dipelopori sebagai hobi semata-mata  malah menggalakkan penggiatnya menjana pendapatan serta menggunakan masa dengan berkualiti dan tidak sia-sia.

“Tahniah kepada semua yang terlibat terutama kepada pihak Pusat Jahitan Seni Kreatif (PSJK) dan Epal dalam usaha menjayakan program ini. Satu pencapaian yang sangat membanggakan Negeri Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sijil Kepada Peserta di  Pusat Latihan Kraftangan Epal (Epal) di Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini, semalam.

Zuraida berkata, penggiat kraftangan itu perlu menggunakan segala kemudahan yang disediakan kerajaan negeri untuk meningkatkan pendapatan keluarga serta melahirkan usahawan kraf yang profesional.

“Bagi pihak kerajaan, kami amat menggalakkan dan mengambil berat usaha-usaha ke arah keusahawanan. Pelbagai manfaat dan kemudahan disediakan untuk membantu rakyat Terengganu supaya lebih berdaya saing dan berjaya menambahkan pendapatan.

“Semoga kejayaan ini memberikan inspirasi kepada kita semua untuk meningkatkan lagi kemahiran jahitan dan sekali gus dapat menjana pendapatan untuk keluarga,” katanya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: