Thursday, 4 April 2019

2,139 Anak Yatim Terima Sumbangan Pakaian Raya - Isteri MB Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 4 April - Seramai 2,139 orang anak yatim menerima sumbangan pakaian hari raya yang disumbangkan oleh Kerajaan Terengganu dan Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Terengganu (PERKAYA).

Isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman telah menyampaikan sendiri sumbangan tersebut kepada anak-anak yang terpilih.

“Lebih 900 orang anak yatim terpilih  untuk  tahun ini menerima sumbangan raya yang disumbangkan oleh PERKAYA.

“Saya difahamkan tradisi ini telah pun dilaksanakan oleh PERKAYA sejak 39 tahun  yang lalu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Pakaian Raya tersebut di Kediaman Seri Iman semalam.

Oleh itu, Tuan Faizah berbesar hati dan mengucapkan  ribuan terima kasih dan syabas atas usaha yang murni itu.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh masyarakat di negeri ini termasuk badan-badan korporat dan usahawan agar dapat bersama-sama menggembleng usaha, tenaga serta kewangan bagi  membuat kebajikan.

“Ia bagi memastikan anak-anak yatim ini dipedulikan dan menjadi  tanggungjawab bersama, sesuai dengan slogan PERKAYA (iaitu) Kebajikan Anak Yatim Tanggungjawab Bersama.

“Di atas kejayaan dan keprihatinan ini sangat menepati dengan slogan (kerajaan) Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera melalui prinsip membina keluarga bahagia dan rakyat sejahtera,” ujarnya.

Sementara itu, menurut Yang Dipertua PERKAYA, Prof. Dato’ Dr.  Haji Tengku Mahmud Mansor, baki sumbangan pakaian kepada seramai 1,216 orang akan diagihkan ke daerah-daerah selain Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Katanya, separuh daripada kos keseluruhan program tersebut sebanyak RM100,000 ditampung oleh kerajaan negeri.


“Kos keseluruhan berjumlah RM100,000, RM50,000 kerajaan tanggung dan RM50,000 daripada PERKAYA," jelasnya.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: