Thursday, 18 April 2019

165 Pelajar, 81 Guru Terima Anugerah Cemerlang

SHARE
Kerajaan negeri hargai pencapaian cemerlang pelajar dan usaha para guru.

KUALA TERENGGANU, 18 April - Seramai 165 pelajar dan 81 guru sekolah menengah agama di  Terengganu menerima anugerah sempena kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), tahun lalu.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 89 pelajar menerima anugerah cemerlang STAM dengan keputusan Jayyid Jiddan dan Jayyid.

Manakala, 16 pelajar cemerlang dalam STPM dan selebihnya menerima anugerah hasil pencapaian mereka dalam SPM 2018.  

Anugerah tersebut disampaikan dalam Majlis Hafl El- Takrim Sekolah-sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu Tahun 2019, di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini, semalam.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika merasmikan majlis berkenaan sempat merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada penerima-penerima anugerah.
Dr. Samsuri hadir meraikan penerima anugerah.

"Semoga kejayaan lalu akan menjadi pemangkin semangat kepada guru-guru untuk meneruskan kecemerlangan pada tahun-tahun akan datang," ucapnya.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat; timbalannya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Ajil, Maliaman Kasim serta Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah ADUN Bandar, Ahmad Shah Mohamed dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim.

Majlis berkenaan diadakan bertujuan memberi pengiktirafan kepada pelajar, guru-guru dalam kejayaan mereka di sekolah sekali gus menyemarakkan semangat baharu untuk meningkatkan aspresiasi kecemerlangan.

Dalam majlis tersebut, Dr. Samsuri turut menyampaikan Anugerah Khas Menteri Besar kepada dua pelajar cemerlang STAM iaitu Muhammad Faidhu Rahman Kamalruazmi dan Nik Karimah Nik Abdul Ghafar serta pelajar cemerlang STPM, Nur Syahidah Hassan.













SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: