Tuesday, 30 April 2019

140 Ribu Benih Ikan Dan Udang Air Tawar Dilepaskan

SHARE
Ustaz Sulaiman (duduk empat dari kiri) melepaskan anak udang galah di Jeti Pengkalan Berangan hari ini.
MARANG,  30 April - Timbalan Pengerusi Pembangunan Pelancongan,  Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Sulaiman Sulong,  melepaskan sebanyak 140 Ribu ekor benih ikan Lampam Sungai dan Udang Galah bernilai kira-kira RM27 Ribu  di Jeti Kampung Pengkalan Berangan di sini hari ini. 

Sebanyak 100 ribu ekor adalah benih Udang Galah bersaiz PL 25 dan 40 ribu ekor benih Lampam Sungai bersaiz antara 1.5 hingga 2 inci.

Ia bertujuan untuk memperkayakan sumber perikanan di perairan sungai,  tasik dan lombong khususnya di Sungai Marang yang kini kekurangan spesis Udang Galah.

Benih ikan itu diperolehi  dari Pusat Pengembangan Perikanan Perlok serta Pusat Pengembangan Perikanan Bukit Tinggi, Pahang dan Pusat Penetasan Udang Galah Kampung Acheh, Perak.



Ustaz Sulaiman berkata, semua pihak bertanggungjawab memelihara sumber perikanan di kawasan tersebut dan mereka yang menjalankan aktiviti melanggar undang-undang perikanan diminta meninggalkan perbuatan itu kerana ia boleh menyebabkan habitat hidupan sungai musnah.

Ini termasuk aktiviti menuba, menggunakan peralatan elektrik dan bom ikan yang boleh menjejaskan kehidupan sungai di kawasan berkenaan.

Ustaz Sulaiman (tengah) melepaskan anak ikan Lampam Sungai.


"Semua pihak perlu menjaga sumber perikanan di sini untuk generasi akan datang dan sebagai sumber pendapatan nelayan darat serta pendudukan di kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelepasan Benih Ikan Ke Perairan Umum Sungai Marang, di Jeti Kampung Pengkalan Berangan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Rusman Rusdy dan Pengerusi-pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan.

Sementara itu Rusman berkata, Jabatan Perikanan Negeri telah melepaskan sejumlah hampir 1.9 juta ekor benih ikan dan udang serta induk ikan dari tahun 2008 hingga tahun lalu.

Ustaz Sulaiman


Katanya, ianya melibatkan beberapa siri program pelepasan dengan anggaran nilai mencecah RM456 ribu.

Menurut beliau pada tahun lalu sahaja jabatan itu telah melepaskan sebanyak 0.341 juta ekor benih ikan dengan anggaran peruntukan sebanyak RM121,600.

"Antara spesis ikan yang dilepaskan adalah Kelah, Udang Galah, Terbol, Baung, Lampam Sungai dan lain-lain.

"Bagi daerah Marang khususnya Sungai Marang, jabatan itu telah melepaskan sebanyak 98 ribu benih Udang Galah sehingga tahun 2015 dengan anggaran nilai sebanyak RM9,800," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika membuat kenyataan akhbar berhubung dengan program tersebut di tempat yang sama.


Katanya, sebanyak 470.6 Tan Metrik pendaratan ikan air tawar dibuat di negeri Terengganu dengan nilai RM6.07 juta mulai tahun 2016 hingga tahun lalu.

"Sementara pendaratan ikan di daerah Marang berjumlah 10.1 Tan Metrik dalam tempoh yang sama," jelasnya lagi.

Ini katanya, berdasarkan kepada laporan yang dibuat oleh lapan orang nelayan darat yang berdaftar dengan jabatan tersebut.

Dipercayai jumlah pendaratan dan nilai yang tidak dilaporkan lebih besar dari data berkenaan.

Rusman berkata, antara spesis ikan utama yang didaratkan dari Sungai Marang ialah ikan Toman, Haruan, Siakap dan Baung.

"Kebanyakan spesis ikan yang didaratkan adalah dari spesis pemangsa," ujarnya.

Menurut beliau lagi jabatan itu melalui Program Kajian Inventori Perikanan Darat yang diadakan pada 18-22 Mac tahun lalu mendapati sebanyak 18 spesis ikan dari Sungai Marang dan Sungai Asing serta tiada sampel Udang Galah yang diperolehi semasa kajian.

Katanya, antara sampel spesis yang diperolehi adalah dari jenis ikan Duri, Puyu dan Udang Gantung.

"Oleh itu, jabatan melihat perlunya pelepasan benih ikan dan Udang Galah untuk meningkatkan lagi populasi sekaligus menyumbang kepada peningkatan pendaratan ikan dan udang dari sungai tersebut," ujarnya lagi.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: