Monday, 11 March 2019

YPU Terengganu Sedia Tawaran Hebat Baharu

SHARE
Nurkhuzaini umum tawaran hebat buat anak-anak Terengganu di perantauan.


KUALA LUMPUR, 11 Mac- Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu memperluaskan skim pinjaman tanpa Riba' melalui Tabung Usahawan Sejahtera (TUGAS) yang tular baru-baru ini kepada anak-anak negeri itu di perantauan bagi membantu kehidupan mereka.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman, langkah itu merupakan inisiatif satu-satunya negeri dalam Malaysia yang dilaksanakan untuk membantu anak-anak rantau.

"Ini adalah usaha kerajaan untuk menghargai anak-anak rantau Terengganu yang telah menyumbang kepada negeri termasuk dalam memilih kepimpinan baharu pada Pilihan Raya Umum (PRU) di negeri itu, tahun lalu.
Usahawan Terengganu di perantauan sambut baik usaha YPU.

"YPU memperluaskan TUGAS untuk membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak membezakan antara rakyat yang menetap dalam negeri dan bermastautin di luar.

"Sebagai kerajaan, kita mahu membantu rakyat dengan cara pinjaman tanpa Riba' dan tidak mahu mengambil kesempatan membuat keuntungan daripada mereka," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran TUGAS Untuk Perantau di Dewan T' Cakna, Wisma Yayasan Terengganu, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Anuar Awang; Presiden Persatuan Komuniti Industri Kecil Sederhana Terengganu di Perantauan (KOSMET), Arzaman Ariffin dan Naib Presiden Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU), Mohd Suhaimi Embong.

Nurkhuzaini yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah YPU turut memaklumkan untuk permulaan, dua skim ditawarkan kepada perantau iaitu Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan Terengganu (SP3T) dan Skim Pembiayaan Atas Talian Terengganu (SPINT).

TUGAS akan dipantau PERANTAU dan KOSMET untuk peroleh hasil lebih baik.

TUGAS untuk anak rantau akan dipantau oleh KOSMET dan PERANTAU bagi memastikan para peminjam memperoleh manfaat sepenuhnya daripada pinjaman berkenaan.

"Buat masa ini, kita tidak mengehadkan jumlah permohonan dan kuantiti yang diperuntukkan.

"Kita berharap bantuan sebegini menjadi semangat kepada anak rantau untuk bergiat aktif menjadikan bidang keusahawanan sebagai bidang yang perlu diceburi," katanya.

Sekitar 100 anak-anak negeri terdiri daripada usahawan yang aktif di kota metropolitan itu hadir mendengar penjelasan dan tawaran yang disampaikan dalam majlis tersebut.






SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: