Thursday, 7 March 2019

Proaktif Sebagai ‘Barisan Hadapan’ Kerajaan Terengganu

SHARE
Penyampaian yang cepat dan tepat serlah wibawa kerajaan negeri- Yahaya Ali.


KUALA TERENGGANU, 7 Mac- Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) yang berperanan sebagai ‘barisan hadapan’ dalam menyebarkan agenda Kerajaan Terengganu akan lebih proaktif bagi memastikan segala maklumat sampai kepada rakyat.

Pengarah UPDI, Mohd Soud Said berkata, perancangan dan gerak kerja yang dilaksanakan di bawah kerajaan baharu  selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 perlu sentiasa diperbaharui dan menepati kepantasan dunia komunikasi dan maklumat pada masa kini.

Katanya, UPDI sebagai pemain utama penerangan kerajaan negeri akan sentiasa bergerak lebih pantas  dan memenuhi keperluan pelanggan.

“Kita berada di zaman langit terbuka dan sesiapa yang menguasai Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) akan berada di hadapan.

“Melalui pengurusan strategik yang dilaksanakan, apa sahaja agenda kebaikan kerajaan perlu sampai kepada rakyat dengan cara yang cepat dan tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena kunjungan hormat Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Haji Yahaya Ali ke Pejabat UPDI, di sini, hari ini.


Hadir sama dalam kunjungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong; ADUN Wanita negeri, Zuraida Md Noor; ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta kakitangan Pejabat DUN.

Sementara itu, Yahaya ketika berucap berkata, UPDI berdepan cabaran yang paling getir untuk menyampaikan maklumat dalam arus berita dan teknologi yang semakin pantas.

"UPDI perlu sentiasa di depan berbanding media lain dan bertindak proaktif dalam penyampaian maklumat.

"Ini diperlukan untuk memastikan kerajaan negeri menjadi kerajaan yang terbaik kepada rakyat,” pesannya.






SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: