Tuesday, 12 March 2019

Terharu Terima Rumah PPTS

SHARE

Oleh: Safwan Syakir

KUALA NERUS, 12 Mac- Keceriaan jelas terpancar pada wajah tiga sekeluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal apabila mendapat rumah yang dinanti-nantikan selama ini menerusi Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS).

Seorang penerima kunci rumah PPTS, Kamarol Hisham Mohamed, 32, dari Kampung Banggol Pauh begitu terharu dan amat bersyukur kerana penantian selama lapan tahun untuk memiliki rumah sendiri berakhir.


“Alhamdulillah, setelah berurusan dengan pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Pusat Khidmat Masyarakat setempat, permohonan saya telah mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal.

“InsyaAllah, tahun ini dapatlah beraya di rumah sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPTS DUN Bukit Tunggal yang telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak di Kampung Tebauk, baru-baru ini.


Sementara itu Dr  Alias berkata, kerajaan negeri komited untuk melihat rakyat Terengganu memiliki kediaman sendiri.

Katanya, dalam memenuhi hasrat rakyat, sebanyak 20,000 unit rumah akan dibina secara berperingkat dalam tempoh lima tahun dan dijangka 160 unit rumah akan dibina di Tok Jembal pada tahun ini.

“Kita sasarkan pembinaan 5,000 unit rumah setiap tahun dan permohonan boleh dilakukan secara dalam talian di laman sesawang e-perumahan.terengganu.gov.my.

“Antara syarat untuk memohon PPTS ini ialah dengan mempunyai lot tanah sendiri atau diizinkan waris melalui akuan tandatangan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: