Saturday, 9 March 2019

Terengganu Kaji Prestasi Bola Sepak

SHARE
Ustaz Hishamuddin melawat Stadium Ajax Amsterdam baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU, 9 Mac - Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sedang mengkaji dari segenap sudut bagi menambah baik pembangunan sukan bola sepak supaya lebih berprestij di masa akan datang.

Timbalan Pengerusinya, Hishamuddin Abdul Karim berkata, mengurus pasukan bola sepak bukan suatu perkara mudah.

"Banyak pihak terbabit. Kewajipan atas pemain, pihak pengurusan, padang, pusat latihan, penyokong, tiket dan pelbagai perkara lagi yang berkaitan.

"Kesempatan di Amsterdam tempoh hari saya manfaatkan dengan melawat Stadium Johan Cruyff Arena yang merupakan stadium utama buat kelab AFC Ajax Amsterdam (sebutannya Ayex).

Turut sama saya singgah di Stadium Feyenoord cuma tak sempat ronda kerana ditutup pada hari itu," tulisnya di status Facebook semalam.


Terdahulu, jelas beliau, Ajax berjaya menundukkan Real Madrid 4-1 di laman lawan sekali gus berjaya menyingkirkan Real Madrid dari pentas Liga Juara-juara.

"Stadium berkapasiti 55,000 orang ini sangat berprestij. Penjagaan keseluruhan infrastruktur bangunan amat baik dan sangat cemerlang. Lihat sahaja proses penjagaan rumput padangnya.  

"Sistem pencahayaan untuk kesegaran rumput dipasang. Lengkap berbumbung.

"Bak kata orang, semuanya bagus dan berkualiti," katanya ketika mengimbau kembali lawatan kerjanya ke Amsterdam,  Netherlands baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh berusaha untuk membangunkan semula kemudahan stadium bola sepak Terengganu.

"Merenung balik ke tempat sendiri, kita akan keliru. Tidak tahu hendak mula dari arah mana.

"Bercakap soal Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, ia wujud sebelum Jabatan Kerja Raya (JKR) masuk Terengganu lagi. Begitulah gambaran usianya," jelas beliau.


Menurutnya, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak pula, jika dibaiki padangnya, keseluruhan SSMZA perlukan sentuhan baik pulih.

Kosnya hampir sama dengan kos membina sebuah stadium baharu berkapasiti 20 hingga 30 ribu penonton.

"Kalau anda, di mana anda mahu bermula?" soalnya.

Menyentuh soal penajaan, beliau berkata,  bukan mudah untuk menerima tajaan di negeri Terengganu. Ia memerlukan syarikat yang mampu menaikkan 'volume'  jualan produk mereka.

"Di sana (Amsterdam), mereka ditaja sepenuhnya Heineken (syarikat arak) di samping syarikat lain.

"Hasil jualan Heineken mengatasi hasil jualan tiket (full house). Ia bukan budaya kita. Kita perlu lebih kreatif lagi untuk menjana hasil dengan cara yang menepati syariah. Itu juga cabaran kita semua," jelas beliau.

Berhubung dengan peminat pula, Hishamuddin berkata, di Malaysia, mereka agak bagus kerana peminat makin matang.

"Kita tidak lagi bergaduh dengan peminat pasukan lain. Paling tidak bergaduh di media sosial sahaja.

"Ajax dan Feyenoord, peminat mereka bertelagah teruk. Tidak boleh berada sekali dalam stadium. Pun begitu, penyokong masing-masing cukup menggilai bola dan menyokong pembangunan industri bola," jelas beliau.

"Lihat sahaja keupayaan kedai 'merchandise' mereka.  Kita akan rasa ‘wow’ apabila menjengah masuk. Wow juga melihat harga jersi rasmi mereka.

"Harga jersi home €89.95. Orang sana kata jangan 'convert'. Tapi saya convert jugak, akhirnya dapatlah harganya dalam RM iaitu sebanyak RM400.00 untuk sehelai jersi. Yang order tempoh hari, pohon maaf luar kemampuan untuk membelinya," jelas beliau secara bergurau.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: