Wednesday, 20 March 2019

Terengganu Gerakkan Dakwah Tutup Aurat Secara Sempurna

SHARE

KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Kerajaan negeri mahu menggerakkan usaha dakwah secara berterusan dengan memberi tumpuan mengajak individu beragama Islam khususnya golongan wanita menutup aurat dengan sempurna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, kempen menutup aurat dengan sempurna telah dimulakan dengan penganjuran program Terengganu Hijab Day pada awal Februari lalu.

"Kempen ini bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan muda mengenai kewajipan menutup aurat mengikut syariat Islam.

“Kita juga adakan dakwah jalanan (street dakwah) dengan mengedar risalah-risalah tentang aurat, pakaian yang digariskan oleh Islam dan lain-lain lagi sebagai usaha menyampaikan tarbiyah kepada kumpulan sasaran.

“Sebenarnya selain kesedaran diri sendiri, peranan ibu bapa, guru dan masyarakat sangat penting untuk mendidik anak-anak supaya menutup aurat dengan sempurna,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Jelajah Untukmu Wanita Peringkat Daerah Kuala Terengganu di Masjid Al-Hijrah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed, Pegawai Khas Hal Ehwal Wanita Pejabat Menteri Besar, Khairiah Mokti, Pendakwah Bebas, Datuk Dr. Norhafizah Musa dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) PPR Hiliran, Zamri Awang.

Katanya, kempen-kempen menutup aurat yang diadakan lebih kepada proses mendidik  masyarakat selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menggalakkan rakyat agar sentiasa mematuhi ajaran agama.

Sementara itu, Zuraida berkata, kerajaan negeri juga tidak menolak hiburan, tetapi komited memastikan bentuk hiburan di negeri ini bertepatan dengan syariat Islam bagi mencegah berlakunya perkara-perkara yang boleh mencemari nilai-nilai Islam.

“Kerja dakwah adalah berterusan, dan kita akan perbanyakkan lagi program-program berbentuk ilmiah di samping tidak menyekat program yang berbentuk hiburan tetapi perlulah mematuhi syarat yang ditetapkan,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: