Tuesday, 12 March 2019

Sultan Mizan Berkenan Lancar Pelayaran Penyelidikan Saintifik

SHARE

Sultan Mizan Zainal Abidin.

KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Pelancaran Pelayaran Penyelidikan Saintifik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) : Menelusuri LIMA'19, di Jeti Duyung Marina & Resort, hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Terengganu yang juga selaku Canselor UMT, Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, Penasihat Undang-Undang Terengganu, Dato' Azhar Abdul Hamid, Pegawai Kewangan Terengganu, Mohd Zahari Md. Azahar, Mufti Terengganu, Dato’ Dr. Zulkifly Muda.

Turut hadir, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Naib Canselor UMT, Prof Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar, Pengerusi Lembaga Pengarah UMT, Tan Sri Dato' Seri Dr. Halim Mohamad serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah UMT.
Sultan Mizan melawat kapal RV Discovery.

Ketibaan baginda disambut dengan kawalan kehormatan yang mempersembahkan `Hormat DiRaja’ dan kemudiannya diikuti lagu Selamat Sultan. 

Baginda kemudiannya berkenan mendengar taklimat ringkas berkaitan objektif dan info penting pelayaran penyelidikan yang disampaikan oleh Nor Aieni.

Sultan Mizan seterusnya berkenan menyaksikan gimik pelancaran sebagai simbolik kepada penyempurnaan acara itu sebelum mencemar duli melawat kapal Research Vessel (RV) Discovery.

Pelayaran itu diadakan sempena berlangsungnya program Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition 2019 (LIMA'19) di Langkawi.
Kapal penyelidikan akan mengelilingi merentasi dua laut berbeza.

RV Discovery akan mengelilingi Semenanjung Malaysia menerusi Laut China Selatan dan Selat Melaka selama 25 hari bermula esok.

Kapal itu dijangka tiba di Pulau Langkawi pada 23 Mac dan seterusnya menyertai pameran LIMA 2019 yang akan bermula 26 Mac.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: