Monday, 25 March 2019

Sukan Rakyat Perantau Erat Hubungan Anak Terengganu

SHARE

Sukan PERANTAU saji aktiviti menarik.

SERDANG, 24 Mac - Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) mengambil inisiatif menganjurkan Sukan Rakyat Perantau bagi membina hubungan antara anak-anak negeri yang berkelana di luar Terengganu.

Setiausaha Perantau, Awasi Mohamad berkata, program sukan rakyat yang julung kali diadakan itu merupakan salah satu daripada program yang diadakan badan bukan kerajaan (NGO) itu.

"Selain sukan rakyat,kita turut adakan pertandingan bola sepak, majlis dan pertemuan untuk menyatukan anak Terengganu selain menyediakan ruang untuk membantu mereka dalam kesulitan di perantauan," katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Beliau berkata demikian selepas mengendalikan Sukan Rakyat Perantau di Bukit Expo, Universiti Putra Malaysia, di sini, hari ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kasim; Pengarah UPDI, Mohd Soud Said dan atlet Squash negara yang merupakan anak Terengganu, Mohd Nafiizwan Adnan.


Awasi turut berharap, lebih ramai anak-anak Terengganu di perantauan akan menyertai mereka di masa akan datang.


"Bagi anak-anak Terengganu yang masih belum mengenali Perantau, mari bersama menyertai pelbagai aktiviti kita yang dirancang akan diadakan di seluruh negara," katanya.

Program yang berlangsung selama sehari itu dihadiri lebih 300 anak rantau dari Lembah Klang dan kawasan sekitarnya.

Pelbagai aktiviti diadakan meliputi semua golongan antaranya ialah tarik upih, zero point, bola pekong tengoh dan lari dalam guni.

Program tersebut dijangka bakal diadakan secara tahunan.
;


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: