Monday, 18 March 2019

Sukan Patuh Syariah Pertama September Ini

SHARE
Wan Sukairi (tengah) melayani anak-anak Terengganu di Sabah dalam Program Jelajah Anak Terengganu Pasca Pembentangan Bajet 2019 di Kota Kinabalu Sabah, semalam.

KOTA KINABALU,  18 Mac - Terengganu bakal melaksanakan sukan patuh syariah pertama di Malaysia dalam penganjuran Sukan Terengganu mulai 4 hingga 9 September ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia,  Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri,  Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata,  kerajaan negeri akan menganjurkan sukan patuh syariah Terengganu 2019 yang pertama di Malaysia.  

"Ini adalah penambahbaikan yang kita lakukan untuk merealisasikan polisi patuh syariah setiap program kerajaan.  

"Saya sendiri telah mengada perbincangan dengan penggiat-penggiat sukan Terengganu termasuk dengan Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha untuk menyediakan model sukan berkenaan, dengan persetujuan Menteri Besar,  Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sendiri," jelasnya.  

Ustaz Wan Sukairi mengakui bahawa beliau telah menemui Menteri Besar untuk tujuan tersebut dan mendapat persetujuan bagi melaksanakan sukan patuh syariah itu.  

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog dengan anak-anak Terengganu di Sabah, di sini, semalam. 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan,  Kebudayaan  dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman,   Pengarah Yayasan Terengganu (YT) Haji Ishamudin Hashim,  Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said dan kira-kira 200 anak Terengganu di Sabah.


Sebelum ini, Ustaz Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam menjelaskan bahawa sukan berkenaan akan diadakan dua tahun sekali yang berselang-seli dengan Sukan Malaysia (SUKMA) yang bakal diadakan di Johor tahun depan.  

Katanya,  kerajaan negeri menyediakan peruntukan yang yang agak besar untuk pembangunan sukan di Negeri Terengganu  tahun ini.  

"Kita mengharapkan, dengan peruntukan tersebut dan dengan kerjasama semua pihak, Terengganu terus berupaya mengungguli kejuaraan sukan di Malaysia serta di peringkat antarabangsa," ujarnya.

Anak-anak Terengganu memperagakan baju t-shirt sebagai kempen rakan pelancong bagi memperomosikan Terengganu di Sabah.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: