Monday, 11 March 2019

Sukan, Gaya Hidup Baharu Belia Langkap

SHARE
Azmi Maarof bersama pasukan terbaik kejohanan.


Oleh : Ariss Alias

SETIU, 10 Mac - Aktiviti sukan untuk anak muda di sekitar kawasan Langkap akan diberi keutamaan agar potensi dan kebolehan mereka dapat digunakan sebaik mungkin.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap, Azmi Maarof berkata, aktiviti itu sememangnya menjadi agenda penting yang akan diusahakan oleh pihaknya.

Jelasnya, sukan merupakan aktiviti utama yang dapat menarik minat anak muda, secara tidak langsung ia juga dapat mencungkil bakat-bakat baharu untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

"Kita akan mengutamakan sukan buat anak muda di DUN Langkap. Alhamdulillah kejohanan futsal telah berjaya dilaksanakan pada tahun ini.

"Insya-Allah selepas ini kita merancang mengadakan kejohanan sukan sepak takraw, bola sepak, bola tampar dan ping-pong peringkat DUN," ujarnya.
Penyampaian hadiah untuk pemenang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Kejohanan Futsal Tertutup DUN Langkap bagi tahun 2019, di sini, semalam.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Langkap, Hassan Karim, serta ahli jawatankuasa Pusat Khidmat DUN Langkap.

Tambah beliau, kerajaan negeri turut menggalakkan golongan muda untuk bergiat aktif dalam bidang sukan.

"Saya ingin menekankan hasrat kerajaan Negeri Terengganu yang mahu setiap peserta mematuhi syarat menutup aurat.

"Kerajaan negeri tidak menghalang bahkan sentiasa mengutamakan sukan namun haruslah mematuhi syariat," katanya.

Kejohanan itu menyaksikan Bukit Putera B dinobatkan sebagai juara setelah mereka menewaskan pasukan Kasar FC melalui tendangan penalti apabila keputusan terikat hingga tamat masa sebenar.

Pasukan itu membawa pulang piala pusingan, pingat dan hadiah wang tunai sebanyak RM500.


Manakala Kasar FC selaku naib johan pula membawa pulang pingat dan hadiah wang tunai sebanyak RM300.

Anugerah penjaring terbanyak menjadi milik Mohd Zakaria Abu Bakar dari Kasar FC dan M. Aiman Che Zakaria daripada Bukit Putera B menerima anugerah penjaga gol dan pemain terbaik kejohanan.

Kejohanan ini adalah anjuran Pusat Khidmat DUN Langkap dengan kerjasama i-MiTS DUN Langkap dan Pertubuhan Sahabat Komuniti Sejahtera DUN Langkap (PEMULA Sejahtera).

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: