Tuesday, 26 March 2019

Sukan Berkuda Untuk Semua

SHARE
Ustaz Wan Sukairi (kanan sekali) merasmikan Mesyuarat Agong Kali Ke-10 Persatuan Ekuin Terengganu di Setiu hari ini.

SETIU,  26 Mac - Kerajaan negeri berhasrat menjadikan sukan berkuda dimanfaatkan kepada semua orang,  tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia  juga bermanfaat untuk terapi kesihatan kepada mereka yang bermasalah dari segi kesihatan. 

Katanya, justeru itu kerajaan negeri akan mengadakan pelbagai aktiviti sukan berkuda untuk rakyat negeri Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-10 Persatuan Ekuin Terengganu di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong di sini malam ini.

Ustaz Wan Sukairi
Ustaz Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf  Mempelam dilantik semula sebagai presiden persatuan tersebut buat kali kedua tanpa bertanding.

Seterusnya beliau berkata, sukan berkuda perlu dijadikan satu sukan yang boleh dimanfaatkan untuk semua orang.

"Dengan erti yang lain, kita tidak menjadikan sukan berkuda ini sebagai sukan yang khusus untuk beberapa golongan sahaja tetapi diumumkan atau dimasyhurkan untuk segenap lapisan masyarakat.

"Ini kerana kita sedar tentang kelebihan dan manfaat yang boleh diambil daripada sukan berkuda ini," jelasnya.

Katanya, sebab itu timbul slogan 'Kuda Untuk Semua' bertujuan untuk merakyatkan sukan berkuda di negeri Terengganu.

Di samping itu katanya, sukan berkuda juga boleh menjadi terapi kepada sesiapa yang mempunyai masalah kesihatan.

"Ia bukan sahaja boleh dijadikan aktiviti riadah tetapi juga menjadi terapi  kepada mereka yang bermasalah kesihatan," jelasnya lagi.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: