Thursday, 14 March 2019

SPM 2018: Kerajaan Negeri Tawar Tajaan Biasiswa Kepada Empat Pelajar Cemerlang

SHARE
Ahmad Samsuri beramah mesra bersama pelajar cemerlang SPM 2018
KUALA TERENGGANU, 14 Mac- Kerajaan negeri menawarkan penajaan biasiswa kepada empat pelajar cemerlang Terengganu yang mendapat semua A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 yang diumumkan serentak seluruh negara, hari ini.

Pelajar cemerlang tersebut, Muhammad Hilman Nor Azmi dari Sekolah Menengah Imtiaz, Kuala Terengganu dan Nurin Batrisya Mohd Azmi dari Sekolah Menengah Imtiaz Besut yang mendapat 11A+.

Sementara itu, Amirah Husna Abdul Kahar dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Nerus dan Nur Atiqah Syuhadah Hamdan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sains Tengku Lela Segara, Marang mendapat 9A+.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, menerusi Bajet 2019 kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5 juta pembiayaan biasiswa sepenuhnya kepada pelajar cemerlang sehingga mereka menamatkan pengajian.

“Hari ini, Terengganu telah mencatat peningkatan dimana empat orang pelajar berjaya mendapat semua A+ dalam SPM berbanding tiga orang tahun lepas.

“Secara automatik, kita akan tawarkan biasiswa penuh kepada empat pelajar ini untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media pengumuman SPM di bilik mesyuarat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri juga memperuntukkan RM10 juta sepanjang tahun ini bagi pinjaman pendidikan untuk tujuan pembayaran yuran.

Terengganu terus mengungguli dalam bidang pendidikan apabila keputusan SPM 2018 merekodkan peningkatan dengan Gred Purata Keseluruhan (GPK) negeri 4.90 mengatasi GPK kebangsaan 4.95.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: