Wednesday, 6 March 2019

Seminar Hala Tuju Tingkatkan Daya Saing Wanita Terengganu

SHARE

KUALA TERENGGANU, 6 Mac – Seminar Hala Tuju Wanita Negeri Terengganu 2019 berupaya meningkatkan daya saing  di kalangan kaum hawa agar lebih berkemahiran, berpendidikan dan  memiliki tingkat sosio ekonomi yang menyerlah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita negeri, Hajah Zuraida Md Noor berkata, seminar itu menepati matlamat untuk membina dasar, visi serta misi wanita di negeri ini.

“Saya sangat berpuas hati dengan idea dan pandangan dan cetusan yang sangat membina untuk kita sama-sama membangunkan dasar wanita Terengganu sekali gus.

“Ianya selaras dengan kehendak kerajaan menuju wanita maju berkat dan sejahtera,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas program Seminar Halatuju Wanita Terengganu di Permai Hotel, di sini, semalam.

Pengarah Program Ustaz Zakaria Ismail
Zuraida berkata, resolusi seminar tersebut bertepatan dengan matlamat Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional yang sangat menitik beratkan untuk memartabatkan wanita dalam bidang pembangunan wanita dan keluarga.

“Saya tanya maklum balas  daripada peserta yang hadir dan mereka sangat menanti-nantikan  program yang berbentuk perkongsian idea macam ini.

“Bermula daripada orang  yang profesional sampailah orang bawah maksudnya kita mengambil kira semua peringkat umur dan pelbagai lapisan sama ada dia doktor, peguam, surirumah, ataupun pekerja biasa.

“Jadi idea itu memang mereka rasa dihargai kerana kita guna pakai dan mengiktiraf mereka  untuk  bersama-sama memberi pandangan untuk  membentuk  dasar dan halatuju wanita Terengganu,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, Pengarah Program Ustaz Zakaria Ismail berkata, seminar ini adalah satu mekanisma untuk mendapatkan maklumbalas tentang apakah yang dimahukan oleh wanita Negeri Terengganu.

“Jadi kita berdasarkan (kehendak) daripada bawah menyampaikan hasrat ke atas bukan daripada exco (atas) menyatakan apa yang dikehendaki (kepada peringkat) di bawah.

“Hari ini kita mengumpulkan 53 agensi kerajaan, swasta, NGO dan orang persendirian ada juga kebanyakan mewakili pertubuhan wanita.

“Hasil daripada perbincangan (seminar ini) dan pembentangan kertas kerja, kita keluarkan enam resolusi (yang akan)  diambil perhatian oleh Exco kita,” ujarnya.

Justeru itu, beliau yang juga Ketua Penyelidikan dan Pembangunan TSIS berkata, seramai 176 peserta yang mengambil bahagian dalam seminar tersebut telah berikrar dan memberikan komitmen untuk meningkatkan peranan mereka kepada tahap yang lebih tinggi.

“Jadi kita bincangkan semua apakah peranan wanita ini boleh ditingkatkan lagi. Jadi setakat ini penyertaan wanita di Terengganu di dalam bidang tersebut adalah sangat tidak tinggi.

“Kita berhasrat untuk meninggikan lagi kerana peluang itu ada Exco pun memberikan jalan macam manakah untuk memperkasakan wanita,” tegas beliau.





SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: