Saturday, 9 March 2019

Selidik Dulu, Jangan Silap Viral! - Dr. Azman

SHARE

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 9 Mac – Keghairahan menyebarkan maklumat mengenai sesuatu isu atau kejadian tanpa disahihkan terlebih dahulu perlu dibanteras dalam masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim menasihatkan kepada masyarakat agar berhati-hati dengan kepantasan dunia di hujung jari masa kini sama ada menerima atau memberi apa-apa maklumat.

Katanya, perkara itu perlu diambil berat bagi mengelak salah tanggapan dan pelbagai fitnah akibat isu yang tidak benar.

"Saya menasihatkan demikian rentetan kejadian tular di laman Facebook beberapa hari yang lalu, mengenai seorang warga emas tinggal bersama seorang anak orang kelainaan upaya (OKU) di rumah usang seolah-olah mereka tidak diberi perhatian dan dinafikan hak,"katanya.

Dr Azman turut menafikan ketidakcaknaan pemimpin setempat terhadap warga emas berkenaan. Malah, status bukan warganegara menyebabkan kemudahan dan bantuan yang diterima juga terhad.

Menurut beliau lagi, semua golongan dan penduduk di Jabi tidak dipinggirkan tetapi hak rakyat tempatan pastinya akan menjadi keutamaan untuk menikmati pelbagai bantuan dan kebajikan.

“ Jabi antara tempat ramai orang Barat bermukim dan bermastautin. Istilah Orang Barat merujuk kepada orang Melayu dari Wilayah Selatan Thai dan bukannya makna warga negara barat. Ada yang kerja NGO (Noreh Getah Orang), kedai makan dan macam-macam lagi. Sebahagiannya ada pertalian perkahwinan dengan warga tempatan. Ada yang hidup senang dan ada juga yang biasa-biasa sekadar boleh makan,” tambahnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi menasihatkan kepada masyarakat luar Jabi yang mengunjungi kawasan itu supaya menyelidiki latar belakang dan mendapatkan maklumat sebenar terlebih dahulu sebelum diuar-uarkan cerita tidak sahih itu kepada orang ramai.

“Sekiranya terjumpa ada rumah ala-ala pondok durian dalam kebun getah atau sawit, sebelum mengambil gambar dan viral, mohon tanya dulu sepatah kepada orang setempat akan latar belakang mereka.

“Tak ada masalah bagi saya. Cuma untuk berlaku adil, lebih eloklah dapatkan info sebenar,"katanya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: