Monday, 18 March 2019

Sekretariat Terengganu Bakal Ditubuhkan Di Sabah

SHARE
Ariffin (tengah) melayani anak-anak Terengganu di Sabah dalam Program Jelajah Anak Terengganu Pasca Pembentangan Bajet 2019 di Kota Kinabalu Sabah, semalam.


KOTA KINABALU, 18 Mac - Persatuan Anak-anak Terengganu di Perantauan (Perantau) bakal menubuhkan Sekretariat Khas di Sabah bagi menyebarkan maklumat mengenai Terengganu kepada anak negeri itu khususnya.

Pengerusi Perantau Negeri Sabah,  Mohd Anuar Ali berkata,  pertubuhan itu akan bermesyuarat tidak lama lagi di sini bagi menubuhkan sekretariat penting berkenaan sebagai pusat menyebarkan maklumat (One Stop Centre)  mengenai Negeri Terengganu di Sabah.

"Antara maklumat penting termasuk memperkenal negeri Terengganu sebagai negeri yang melahirkan ramai ulama sejak zaman dahulu lagi.

"Di Terengganu pernah lahir ulama terkenal zaman dahulu iaitu Haji Abdul Rahman Limbong dan sekarang pula Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Tuan Guru Haji Abdul Hadi mempunyai ilmu yang luas dalam bidang agama yang sukar dicari ganti,"katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Jelajah Anak Terengganu Pasca Pembentangan Bajet Negeri 2019 di sebuah hotel di sini, semalam.



Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan,  Kebudayaan  dan Teknologi Maklumat negeri, Ustaz Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri,  Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah,  Pengarah Yayasan Terengganu (YT) Haji Ishamudin Hashim,  Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Soud Said dan kira-kira 200 anak Terengganu di Sabah. 

Di majlis yang sama Ustaz Ariffin dilantik sebagai ayah angkat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (Permata) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurut Mohd Anuar terdapat kira-kira 1,000 anak Terengganu berada di Sabah pada masa kini  termasuk yang menetap dan belajar di beberapa buah universiti sekitar negeri tersebut.

Anak-anak Terengganu mempromosikan Terengganu kepada rakyat Sabah di Kota Kinabalu, semalam.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: