Thursday, 14 March 2019

Segera Isytihar Darurat Di Pasir Gudang

SHARE

Dato' Dr Mohd Khairuddin


KUALA NERUS, 14 Mac - Kerajaan Pusat perlu segera mengisytiharkan darurat di kawasan bencana pencemaran sisa kimia di Pasir Gudang, Johor supaya kawasan berkenaan segera dikosongkan sekali gus memindahkan penduduk terbabit ke luar dari kawasan berbahaya itu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata kelewatan kerajaan bertindak dalam isu pencemaran tersebut sangat dikesali sedangkan ia melibatkan risiko nyawa dan kesihatan ribuan mangsa.

"Pencemaran ini telah dikesan sejak 7 Mac lagi dan hari ini telah cukup seminggu bencana itu berlaku.

"Kerajaan tidak perlu menunggu supaya lebih ramai lagi mangsa datang mengadu sakit akibat terhidu gas metana di hospital-hospital untuk mengumumkan tindakan pencegahan secara drastik, bukan hanya sekadar tindakan rawatan kesihatan semata-mata," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek mengumumkan, sebanyak 111 buah sekolah di Pasir Gudang ditutup berbanding 34 buah sekolah sahaja diarah tutup sebelumnya.

Sementara Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad pula menyatakan bahawa semalam seramai 506 orang individu dirawat akibat pencemaran tersebut.

Dr Mohd Khairuddin seterusnya, berkata dengan kejadian tersebut menunjukkan bahawa tahap kritikal sedang berlaku di kawasan terbabit.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Menteri Besar Johor, Dato' Osman Sapian berhubung dengan insiden tersebut sebagai tidak serius, satu sikap memandang ringan kejadian itu.

"Menteri Besar Johor pula lewat petang tadi (petang semalam) memandang ringan isu ini dengan menyifatkannya sebagai masih terkawal dan tidak jejas begitu teruk.

"Dalam keadaan ada pengkaji yang menimbulkan persoalan sama ada gas metana boleh dihalang penyebarannya dengan memakai penutup muka sahaja, maka saya merasakan sangat wajar perisytiharan darurat dibuat segera oleh kerajaan bagi mengosongkan kawasan terbabit dan mengarahkan perpindahan segera penduduk." tegasnya.

Katanya, tindakan pencegahan sebegini lebih baik berbanding risiko nyawa dan kesihatan yang mungkin timbul selagi kawasan tersebut belum disahkan benar-benar selamat.

Sementara itu dilaporkan bahawa terdapat ramai pelajar dari sekolah-sekolah berkenaan yang mengalami simptom loya, muntah muntah dan pening dipercayai terhidu bahan kimia itu dari Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor.

Bagaimana pun setakat ini, tidak ada mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat terhidu bahan kimia tersebut.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: