Thursday, 7 March 2019

Santuari Kelah Terengganu Tumpuan Utama Pengunjung

SHARE

Santuari Kelah Tasik Kenyir-Foto ihsan Catatan Kembara Dunia.

KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Santuari kelah menjadi `port utama' di Terengganu yang menarik pelancong untuk mengunjungi Tasik Kenyir.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, santuari itu mencatatkan kehadiran pengunjung tertinggi berbanding tempat lain sejak ia dibuka pada Oktober 2008.

Jelasnya, peningkatan mendadak orang ramai dari dalam dan luar negara menyebabkan pihaknya terpaksa mengehadkan bilangan pengunjung yang boleh memasuki kawasan itu pada satu-satu masa.

“‘Ranking nombor satu pusat tarikan pengunjung (yang menjadi tumpuan) adalah santuari kelah.

“Setiap tahun kehadiran pengunjung meningkat sehingga kita terpaksa menghadkan (100-200) pengunjung sahaja sehari untuk ke santuari kelah,” katanya.
 
Ariffin Deraman dalam wawancara khas segmen 'Kabbo Royak'.
Beliau berkata demikian pada wawancara khas segmen 'Kabbo Royak' siri ketujuh di Studio TV Darul Iman baru-baru ini.

Tambah beliau, selain santuari kelah, ‘houseboat’ turut mendapat sambutan yang hebat terutamanya daripada pelancong asing.

Kemudahan yang ada di dalam ‘houseboat’ seperti bilik tidur, televisyen, astro, internet, bilik air dan kemudahan untuk memasak ternyata menarik minat pengunjung untuk mencuba.

“Kita ada juga ‘houseboat’, dari setahun ke setahun jumlah ‘houseboat’ (yang beroperasi) meningkat.

“Sekarang ini kita ada 98 buah, itu pun kita tidak cukup tangan dah (untuk memenuhi permintaan pelancong),” tambahnya.

'Houseboat' Kenyir- Foto ihsan blog pakej.my
Tasik Kenyir adalah destinasi pelancongan utama di Malaysia yang menjanjikan keseronokan dan kepuasan yang tersendiri.

Selain santuari kelah dan 'houseboat' yang menarik di Tasik Kenyir, Taman Herba dan Pusat Konservasi Gajah juga mempunyai tarikan yang mampu memukau pengunjung.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: