Wednesday, 13 March 2019

Saintis Wanita Ketuai Misi Pelayaran Penyelidikan Marin

SHARE
Prof Dato’ Dr Nor Aieni Mokhtar.

KUALA TERENGGANU, 13 Mac - Saintis wanita, Dr Roswati Md Amin akan mengetuai misi Pelayaran Penyelidikan Saintifik yang mengelilingi Semenanjung Malaysia menerusi Laut China selatan dan Selat Melaka bermula hari ini.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, pemilihan seorang wanita selaku ketua pelayaran adalah sebagai bukti kaum ibu juga berkebolehan dalam bidang kelautan.

Jelasnya, penglibatan Dr Roswati dalam misi itu bertitik tolak daripada tema ‘Wanita dan Kelautan’ bagi sambutan Hari Kelautan Sedunia yang diperkenalkan oleh United Nations (UN) baru-baru ini.

“UN telah mengeluarkan satu kenyataan tentang penglibatan wanita dalam bidang kelautan yang memberi impak besar tetapi kurang didedahkan kepada umum.

“Bersempena Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19), UMT menganjurkan Pelayaran Penyelidikan Saintifik menggunakan kapal RV Discovery dengan menampilkan wanita sebagai ketua,” ujarnya.
 
Sultan Mizan mencemar duli melancarkan misi itu.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Pelancaran Pelayaran Penyelidikan Saintifik Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Jeti Duyung Marina & Resort, semalam.

Majlis disempurnakan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. Berangkat mengiringi baginda Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Turut hadir, Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, Penasihat Undang-Undang Terengganu, Dato' Azhar Abdul Hamid, Pegawai Kewangan Terengganu, Mohd Zahari Md. Azahar, Mufti Terengganu, Dato’ Dr. Zulkifly Muda

Nor Aieni turut berkata, pelayaran yang melibatkan 56 lokasi persampelan akan berhenti di Gelang Patah, Johor sebelum bergerak ke Langkawi.
 
Sultan Mizan berkenan melawat kapal SV Discovery.
Pelayaran bertujuan untuk mengumpul maklumat oseanografi fizikal, biologi dan kimia serta pencemaran sekali gus mengetahui status terkini di persekitaran marin Semenanjung Malaysia.

“Kajian yang dijalankan bakal menghasilkan senarai semak kehadiran spesis, sebaran dan biodiversiti yang terdapat di perairan Semenanjung Malaysia.

“Status pencemaran di persekitaran marin meliputi mikroplastik, logam berat dan spesis asing dan invasif juga akan dapat diketahui,” katanya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: