Sunday, 17 March 2019

Rakyat Wajib Cakna Perkembangan ICERD

SHARE
Rakyat perlu sentiasa perhati sebaarang tindakan kerajaan dalam menentukan untung nasib mereka- Zubir. 


MARANG, 17 Mac - Rakyat dinasihatkan sentiasa cakna, peka serta ambil tahu mengenai perkembangan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dan konvensyen-konvensyen lain yang berkaitan sekalipun isu berkenaan telah reda.

Pengamal Undang-Undang, Mohd Zubir Embong berkata, rakyat perlu terus dimaklumkan secara terperinci berkaitan isi kandungan perjanjian-perjanjian tersebut yang dilihat dapat mengganggu-gugat agama Islam sebagai agama Persekutuan serta kedaulatan negara.

“Paling tidak, rakyat perlu ada satu idea bahawa semua konvensyen atau perjanjian ini sebenarnya tidak lain tidak bukan adalah satu penjajahan baharu ke atas negara-negara yang bebas.

“Ini kerana selepas Piagam Atlantik pada tahun 1941, negara-negara kuasa besar tidak dibenarkan lagi untuk menjajah. Maka, konvensyen sebegini dijadikan medium penjajahan secara undang-undang,” katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas sesi Dialog ICERD Ancaman Kepada Islam: Penghinaan Terhadap Rasulullah SAW di perkarangan Pasar Pengkalan Berangan, di sini, baru-baru ini.

Dialog anjuran PAS Marang itu turut menampilkan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong sebagai panel.

Rakyat membangkitkan pelbagai persoalan berkaitan dasar dan tindakan kerajaan dalam majlis dialog yang diadakan. 
Zubir turut memaklumkan ICERD hanyalah salah satu daripada beberapa konvensyen yang ingin ditandatangani Kerajaan Persekutuan.

“Ketahuilah ICERD adalah satu daripada beribu cara untuk menolak Islam sebagai agama Persekutuan. Sekalipun ia tidak diratifikasi, tetapi sekiranya isi konvensyen dilaksanakan melalui polisi kerajaan, ia tetap akan menggugat agama Islam dan kaum Bumiputera.

“Walaupun kerajaan tidak menandatangani ICERD, tetapi ada lagi konvensyen dan perjanjian yang bakal ditandatangani tanpa kita sedar termasuklah yang terbaru dan telah dimeterai, iaitu Statut Rom,” katanya.

Menurutnya, walaupun Statut Rom tidak berkait dengan rakyat secara langsung, tetapi ia dilihat seakan ugutan kepada Raja-raja Melayu sedangkan negara ini memiliki undang-undang tersendiri dalam membicarakan sebarang kesalahan ketua agama Islam itu, iaitu Mahkamah Khas Raja-Raja.
Sulaiman nasihat umat Islam contohi pendekatan Rasulullah SAW.

Dalam pada itu, Sulaiman turut bersetuju dengan pandangan berkenaan namun mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati dalam menghadapi tekanan terhadap emosi dan pendirian mereka.

“Hari ini kita berdepan cabaran daripada mereka yang iri hati dengan perkembangan Islam, maka kita sebagai pendokong gerakan Islam hendaklah menunjukkan contoh terbaik sebagaimana yang telah ditunjukkan Rasulullah SAW ketika menghadapi golongan ini,” katanya.

Manakala, Wan Sukairi menegaskan dasar PAS sentiasa konsisten demi mencapai keuntungan kepada Islam dan umat Islam.

“Melihat kepada suasana politik semasa yang tidak memberi keberuntungan kepada umat Islam, PAS sedia bekerjasama dengan mana-mana parti yang memberi keuntungan kepada Islam dan umat Islam serta rela memutuskan hubungan dengan parti yang memberikan kesan buruk kepada umat Islam.

“Ini yang kita umumkan dan kita pegang secara terang-terangan sejak dahulu lagi,” katanya dalam sesi dialog yang dihadiri lebih 100 penduduk tempatan itu.  

Wan Sukairi perjelas tindakan kerjasama PAS dan matlamat mereka.








SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: