Sunday, 3 March 2019

Proses Penutupan 50 Syarikat ‘Sakit’ Lebih Kepada Langkah Pemutihan

SHARE

SETIU, 3 Mac - Proses penutupan kira-kira 50 anak syarikat milik kerajaan negeri yang ‘sakit’ atau dikenal pasti tidak lagi beroperasi dan tiada sebarang aktiviti perniagaan lebih kepada langkah pemutihan.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu bagi memastikan penstrukturan semula dapat dilakukan untuk mengukuhkan anak syarikat supaya lebih berdaya maju selain menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

“Kerajaan negeri kini dalam proses melaksanakan perkara (penutupan) tersebut kerana terdapat syarikat yang sudah tidak beroperasi dan tidak mempunyai pekerja tetapi pendaftaran syarikat itu masih ada.

“Antara proses yang sedang berlaku sekarang ini adalah kita mahu keluarkan dari pendaftaran syarikat supaya tidak ada komitmen, proses audit dan sebagainya yang akan memakan belanja kerajaan negeri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai proses penutupan kira-kira 50 anak syarikat oleh kerajaan negeri selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar (MB) Terengganu, di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Katanya, kerajaan negeri juga akan membuat penyusunan semula bagi menggabungkan anak-anak syarikat milik kerajaan negeri dalam teras yang sama iaitu ke arah mengukuhkan prestasi di samping dapat berkongsi kepakaran dan pengalaman.

“Perkara ini akan memakan masa dan dijangka dalam tempoh setahun atau setahun setengah ianya akan selesai,” ujarnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: