Thursday, 21 March 2019

PKAPKN Santuni Pesakit Kronik Di Felda Belara

SHARE


Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 21 Mac- Sekretariat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN) telah menyantuni empat orang warga emas yang diuji dengan pelbagai penyakit kronik di Felda LKTP Belara, Tepoh, semalam.

Program ziarah tersebut telah diketuai oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Wan Yusrizal Wan Shafi'i bagi mewakili Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang menghadiri sidang Parlimen di Kuala Lumpur.

Salah seorang pesakit, Mohamed Che Man,72 tahun, yang menderita penyakit saraf dan kencing manis sehingga menyebabkan beliau tidak dapat berjalan seperti orang biasa terharu dengan kunjungan tersebut.

“Saya telah mengidap penyakit saraf ini sudah hampir 10 tahun dan memerlukan tongkat untuk berjalan.

“Sejak tahun lepas, penyakit saraf saya bertambah teruk dan sudah tidak mampu berjalan seperti biasa dan memerlukan bantuan daripada keluarga.

“Terima kasih sangat atas kunjungan pihak Sekretariat PKAPKN yang turut menghulurkan sumbangan kepada kami sekeluarga,” ujarnya kepada pemberita selepas menerima kunjungan tersebut.


Begitu juga dengan seorang pesakit lain, Minah Hussin yang merupakan pesakit Insomnia (tidak dapat tidur) yang diziarahi dan mendapat perhatian oleh PKAPKN.

Menurut anak beliau, Nor Shalawati Harun, ibunya tidak dapat tidur pada waktu malam dan terpaksa bergantung kepada ubat yang dibekalkan oleh klinik berdekatan untuk tidur.

“Penyakit ibu saya ini bermula pada tahun lepas. Saya harap kunjungan ini sedikit sebanyak dapat  menggembirakan hati ibu saya,” ujarnya.

Dalm kunjungan tersebut, selain bertanya khabar wakil PKAPKN turut memberi sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka yang menderita akibat pelbagai penyakit ini.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: