Sunday, 31 March 2019

PKAPKN Ringankan Beban Penduduk Uzur Di Bukit Petiti

SHARE
Wan Yusrizal Wan Shafi'i.

Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 31 Mac – Kegetiran hidup yang dialami oleh sebilangan penduduk di Kampung Bukit Petiti, Buluh Gading terus diberi perhatian oleh Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN).

Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Wan Yusrizal Wan Shafi’i berkata, kebanyakan yang dibantu adalah penghidap penyakit kronik dan berdepan kekangan untuk melakukan aktiviti harian.

Jelasnya, penderitaan yang dialami menyebabkan mereka terpaksa bergantung hidup dengan bantuan saudara yang terdekat.

 “Penyakit yang mereka hidapi membataskan banyak pergerakan dalam kerja harian mereka.

Mereka yang dilawati ini merupakan penduduk Kampung Bukit Petiti yang perlu kepada bantuan dan sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menziarahi tiga keluarga yang menghidapi penyakit kronik di Kampung Bukit Petiti, Buluh Gading, di sini, baru-baru ini.

Seorang pesakit, Chik Salleh, 72 tahun, menghidap penyakit kencing manis yang kronik dan sakit tua sejak beberapa tahun yang dahulu dan sudah kematian suami sekali gus menyukar warga emas itu menguruskan dirinya sendiri, selain terpaksa bergantung kepada dua anaknya bagi menguruskan kehidupan seharian.

Sementara seorang lagi pesakit, Mamat Said, 79, juga menghidap sakit tua dan masalah saraf, menyebabkan dia dirujuk di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dua kali sebelum ini.

Susulan itu, PKAPKN memberi sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan kepada tiga keluarga berkenaan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: