Saturday, 30 March 2019

PKAPKN Aktif Santuni Masyarakat

SHARE
Aktiviti 'turun padang' memberikan gambaran jelas keadaan masyarakat setempat. 
Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 30 Mac - Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN) menyantuni masyarakat dengan melaksanakan pelbagai kaedah untuk membantu dan menyelesaikan masalah rakyat setempat di parlimen berkenaan.

Antaranya, PKAPKN bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal turut menziarahi dua keluarga yang diuji kesakitan di Kampung Gong Kijang, di sini baru-baru ini.

Senik Chik, 84, hanya terlantar di atas katil dan tidak mampu menguruskan diri akibat sakit tua.


Keadaannya sudah berlarutan hampir enam tahun dan hanya mengharapkan bantuan daripada ahli keluarga terdekat untuk bergerak.

Senik menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

Manakala, Nasir Rohani, 43, diuji dengan penyakit strok sejak setahun yang lalu.

Penyakit yang dialaminya menyebabkan dia tidak dapat berjalan seperti manusia normal dan memerlukan bantuan daripada sanak saudara untuk menjalankan aktiviti-aktiviti seharian.

Pengawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Wan Yusrizal Wan Shafi'i memaklumkan, kunjungan tersebut merupakan rutin yang dilakukan untuk melihat keadaan masyarakat di kawasan tersebut.

“Rutin ini memudahkan bantuan disalurkan,” katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di lokasi kunjungan.

Turut hadir, pegawai-pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal dan ahli-ahli jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Kijang.

Melalui program ziarah yang bermula pada jam 9.15 pagi itu, PKAPKN turut mengumpulkan maklumat dan menyampaikan perkembangan berkaitan bantuan dan dana-dana yang diumumkan kerajaan negeri untuk membantu masyarakat di samping mengeratkan hubungan silaturrahim dengan masyarakat.




SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: