Sunday, 17 March 2019

Pesta ‘Kubang Ikan’ Meriah

SHARE

Oleh: Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU, 17 Mac- Lebih 50 orang mengambil bahagian dalam aktiviti menangkap ikan atau lebih dikenali pesta ‘kubang ikan’ di Kampung Teluk Paku, semalam.

Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Teluk Paku, Tuan Muhammad Zulfadillah Tuan Zarawi berkata, aktiviti menangkap ikan darat menggunakan tangan itu merupakan tradisi penduduk kampung berkenaan sejak sekian lama.


Katanya, walaupun anak muda sekarang ghairah dengan arus kemodenan tetapi anak muda Kampung Teluk Paku masih mempertahankan aktiviti warisan nenek moyang mereka.

“Aktiviti 'kubang ikan' atau lebih dikenali 'gumbe ikan' ialah menangkap ikan di tali air selepas musim menuai padi dan telah menjadi aktiviti wajib bagi penduduk kampung ini.

"Ianya telah diadakan sejak zaman nenek moyang lagi dan tujuan aktiviti ini terus dianjurkan adalah untuk menggambarkan kepada generasi kini bertapa susahnya orang dahulu mencari rezeki,” ujarnya kepada pemberita selepas pesta ‘kubang ikan’ di tali air Kampung Teluk Paku, semalam.


Katanya, hampir 100 ekor ikan jenis haruan, puyu, sepat kedah dan banyak lagi berjaya ditangkap pada acara tersebut yang secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan di kalangan penduduk setempat.

“Ikan-ikan ini dimasak dengan menu istimewa iaitu ikan gulai daun kesum dan dijamu khas kepada peserta dan penduduk kampung.

“Selepas bergotong-royong memasak hidangan berasaskan ikan-ikan yang ditangkap, mereka akan makan beramai-ramai dipanggil 'makan nasi saing' menjadikan mereka lebih akrab,” ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: