Friday, 15 March 2019

Pendidikan Islam Untuk OKU Masih Lemah

SHARE

Oleh: Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Golongan istimewa dilihat sedikit tercicir dalam aspek dakwah apabila modul yang diguna pakai hari ini seakan-akan sama seperti yang digunakan untuk golongan normal.

Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti  Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Adnan Mohamed Yusoff berkata, ramai mungkin terlupa bahawa penerimaan golongan istimewa atau golongan kurang upaya (OKU)  itu dalam mesej dakwah adalah berbeza terutama dalam penyampaian ilmu.

"Kefahaman itu bergantung cara mana, kita menyampaikannya dalam bahasa isyarat serta visual.

“Kadangkala, simbol dalam bahasa isyarat itu tidak ada dalam perkataan tertentu dalam pengajian Islam dan itulah yang hendak diseragamkan oleh pengkaji supaya kaedah itu dapat diterap dalam agenda dakwah OKU dalam semua peringkat umur golongan istimewa itu,'' ujarnya.

Beliau berucap demikian ketika mengunjungi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Abdullah di Wisma Darul Iman, di sini, baru-baru ini.


Dr. Adnan berkata, pendekatan kerohanian dan pemahaman bahasa isyarat yang betul dengan maksud yang tepat akan dapat memberikan mesej betul dalam dakwah OKU ini.

Menurutnya, budaya menghukum di kalangan masyarakat kadangkala menyebabkan pendekatan dakwah semakin ditinggalkan dan perkara itu menyaksikan golongan OKU semakin jauh dengan Islam.

Oleh yang demikian Adnan berkata, dalam melihat isu dan cabaran golongan OKU khususnya pada aspek merealisasikan konsep indahnya hidup beragama antara perkara utama yang perlu diambil perhatian adalah sejauh mana masyarakat khususnya golongan cerdik pandai dalam kalangan mahasiswa pengajian Islam mendekati dan memahami budaya golongan minoriti ini.


Menyedari keperluan itu, USIM juga melihat pentingnya bahasa isyarat pelbagai medium komunikasi bagi OKU pekak.

“Jika kita boleh melahirkan golongan ‘huffaz al Quran' dalam kalangan OKU masalah penglihatan, saya rasa tidak mustahil pula kita akan dapat melahirkan golongan ‘huffaz al Quran' di kalangan OKU pekak,'' tegasnya.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: