Saturday, 30 March 2019

Payungi Khazanah Alam Tanggungjawab Bersama

SHARE

Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 30 Mac - Khazanah alam Terengganu adalah kurniaan Tuhan yang tidak ternilai. Kehilangan khazanah ini bukan sahaja bermakna kehancuran ekosistem, malah kehilangan sumber pendapatan daripada sektor pelancongan.

Terengganu merupakan salah satu negeri yang mempunyai muka bentuk muka bumi geografi  unik dengan adanya pesisir pantai, muara sungai, kawasan tengah dan bukit bukau.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata tanggungjawab untuk menjaga anugerah yang tidak ternilai ini adalah peranan bersama sebagai pengurus dan pentadbir untuk memelihara sebaiknya.

“Dari laut dan juga bukit, semua yang dijadikan Allah untuk kita menumpang hidup di atas muka bumi ini dalam keadaan saling memerlukan yang dinamakan sebagai hubungan 'sembiosis'.

“Dengan menjaganya, bukan sahaja menjadi satu sumber sosioekonomi yang berpanjangan kepada rakyat malah kita mengharapkan ganjaran dan balasan pahala daripada Allah kerana apa yang kita buat atas muka bumi ini, tidak akan lepas setakat kehidupan dunia sahaja malah kita akan jawab persoalan di hari kita mengadapNya suatu hari nanti.”jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa (HHA) Peringkat Negeri Terengganu 2019 ‘’Hutan dan Pendidikan” di Dewan University College Bestari (UCB), di sini, semalam.

Katanya lagi, kemenangan tidak akan berpihak kepada manusia sekiranya ‘berlawan’ dengan alam malah ia akan menunjukkan protes sebagaimana kejadian bencana alam yang berlaku sebelum ini.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, sebarang permohonan yang berkaitan dengan pembangunan terutama pembangunan pertanian akan dirujuk Jabatan Perhutanan dalam mesyuarat penimbang bagi menjaga kawasan hutan simpan kekal.

“Apa jua projek pertanian yang terlibat dengan kawasan hutan simpan kekal mesti dikeluarkan dan diangkat permohonan semula ke dalam kawasan yang tidak terlibat dalam hutan simpan. Kita mesti jaga kerana di dalamnya ada khazanah yang tidak ternilai.

“Nak membina ia memerlukan satu tempoh masa yang sangat panjang tetapi untuk kita musnahkan hanya beberapa jam sahaja. Maka, kekalkanlah apa yang menjadi khazanah negeri kita ini,"ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: