Friday, 1 March 2019

Ops Didik Bina Kesedaran Agama

SHARE
Ops Didik di sekitar Batu Burok, Kuala Terengganu.
KUALA TERENGGANU, 1 Mac - Ops Didik yang dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) secara bersepadu bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sekitar bandaraya Kuala Terengganu berjaya membina kesedaran orang ramai terhadap syariah.

Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Azmi Tengah berkata, sudah menjadi tanggungjawab pihak penguasa untuk menyelesaikan masalah sosial yang meruncing dalam kalangan masyarakat terutamanya melibatkan remaja.

Jelasnya, operasi di dua tempat yang diketuai oleh pihaknya berjaya mengesan banyak pasangan yang berkelakuan dan berpakaian tidak sopan di tempat awam.

"Kita berharap semoga momentum mencegah mungkar ini berjalan (seperti biasa) pada masa-masa akan datang.

"Setakat yang saya dimaklumkan, 37 pasangan yang kita keluarkan notis untuk hadir ke pejabat agama," ujarnya.
 
Azmi Tengah, Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengetuai Ops Didik di Pulau Warisan, di sini, semalam.

Hadir sama dalam operasi itu ialah pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Nik Al-Hafiz, pegawai-pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu serta sukarelawan penguatkuasa syariah.

Tambah beliau, pasangan yang ditangkap diberi notis untuk hadir ke pejabat agama daerah dalam tempoh satu minggu bagi mengikuti sesi kaunseling.

Sekiranya gagal berbuat demikian, pasangan terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 34, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir )Terengganu 2001, yang boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM 1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

"Kita akan beri mereka satu notis untuk hadir ke pejabat pada 6 Mac untuk kita jalankan sesi kaunseling dan tazkirah.

"Kalau dia tak datang kaunseling kita akan 'proceed case' itu untuk didakwa di bawah seksyen 34, berkelakuan tidak sopan di tempat awam, kalau tak datang (tunai denda) kita akan keluarkan waran tangkap,".
 
JPJ turut terlibat menjayakan operasi.
Operasi bersepadu yang bermula pada pukul 9.30 malam itu dijalankan di dua lokasi berbeza iaitu di Batu Buruk dan Pulau Warisan.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: