Thursday, 21 March 2019

Mulakan Amalan Bersedekah RM1 - Mohd Nor

SHARE

KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Umat Islam disaran untuk berbuat apa sahaja kebaikan demi mendapatkan ketenangan fikiran dan emosi supaya beroleh keberkatan Allah di dunia mahupun di akhirat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, perbuatan itu termasuklah melalui amalan bersedekah. Melalui amalan bersedekah, ianya akan melahirkan perasaan tenang dan bahagia.


“Bahkan, dengan membelanjakan harta ke arah kebaikan demi membantu orang lain pasti akan mendorong peningkatan hormon-hormon kebahagiaan dalam otak kita. Kajian sains sendiri telah membuktikan kebenaran ini,” katanya.

Justeru, Mohd Nor menyarankan penjawat awam di Negeri Terengganu supaya mengamalkan sikap suka bersedekah dengan memulakan amalan menabung RM1 sehari, kemudiannya ditingkatkan mengikut nilai kemampuan.








"Apabila cukup sebulan atau mencukupi sasaran, agihkan duit tabungan itu kepada anak-anak yatim, orang miskin, tabung masjid atau mana-mana individu yang memerlukan.

“Dengan sikap itu, kita  dapat mendekatkan diri kepada Allah kerana Dia sangat menyayangi golongan hambaNya yang banyak memberi keranaNya, bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Tazkirah Bulanan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Kira-kira 300 kakitangan WDI hadir pada program tersebut yang dimulai dengan solat sunat Dhuha pada jam 8.30 pagi.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: