Thursday, 21 March 2019

MPKK Terengganu Dapat Geran RM10.4 Juta

SHARE
Dr Azman Ibrahim
KUALA NERUS,  21 Mac - Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah memperuntukkan geran sebanyak RM10.4 juta untuk pengurusan 1,040 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) seluruh negeri Terengganu tahun ini.

Ini dikira bahawa setiap MPKK memperoleh RM10 ribu daripada peruntukan itu yang kini dalam proses pengagihan.  

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri,  Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat atas penyediaan geran tersebut.

"Setiap MPKK mendapat geran sebanyak RM10 ribu dan dengan sejumlah 1,040 MPKK seluruh negeri bermakna, KPLB telah menyediakan peruntukan geran berjumlah RM10.4 juta," jelasnya.

Dengan geran tersebut,  Dr Azman menasihatkan semua MPKK membuat perancangan terbaik dan memanfaatkan peruntukan geran itu secara paling bijak.

"Dan kerjasama antara kerajaan dengan kerajaan (G to G), di antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat dalam melicinkan urusan dan pentadbiran kampung akan diteruskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Menteri Besar,  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Perjumpaan MPKK Bersama Menteri Besar,  di Dewan Arena, Stadium Tertutup,  Gong Badak di sini hari ini.

Turut hadir,  Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri,  Haji Yahaya Ali,  Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,  Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri,  pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan kira-kira dua ribu wakil MPKK seluruh negeri.

Sementara itu,  beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi mengumumkan bahawa pihak pengurusan Felda telah bersetuju supaya pengerusi MPKK di 22 tanah rancangan Felda yang ada di negeri Terengganu,  dipilih menjadi salah seorang ahli mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Tanah Rancangan (JKKR).

"Sebelum ini, jawatankuasa JKKR hanyalah diisi oleh ketua-ketua blok dalam kalangan peneroka Felda itu sendiri.

"Dan agenda ini (kolaborasi antara kedua-dua belah pihak), kita akan teruskan bersama insya-Allah, " ujarnya.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: