Thursday, 14 March 2019

MPKK Sebagai Mata Dan Telinga Kerajaan Negeri - MB

SHARE
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

KUALA NERUS, 13 Mac - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) disaran supaya menjadi badan pemantau dan penyelesai bagi pihak kerajaan negeri di kampung-masing-masing.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, permasalahan yang dihadapi oleh rakyat akan dapat diselesaikan dengan mudah apabila badan itu bertindak mengikut kaedah yang betul.

Jelasnya, masyarakat juga perlu mengetahui dan memahami saluran aduan yang betul agar ia menemui jalan penyelesaian terbaik dalam masa yang singkat.

“Kita ada cara dan kaedah kita bekerja, MPKK ada masalah mesti berhubung dengan wakil rakyat masing-masing supaya mereka boleh ‘follow up’ masalah rakyat sehingga peringkat seterusnya.

“Ini adalah cara kita nak selesai masalah, sebab itulah MPKK yang ada pada hari ini menjadi mata dan telinga, tak selesai dengan satu-satu cara, buat cara lain,” katanya.
 
Masyarakat tempatan tidak melepaskan peluang untuk bersoal jawab.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta dalam program ‘MB Mari Kampung Kite’ sempena Siri Jelajah Penerangan Bajet 2019 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu, Dato’ A. Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Md Azhar, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan, serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu.

Program tersebut adalah siri yang ketiga diadakan selepas diadakan di daerah Besut dan Setiu serta Marang.

Sesi bual bicara itu berjaya mengumpulkan hampir 1,000 masyarakat daripada pelbagai bidang yang menetap di daearah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Program tersebut menjadi medium pemimpin negeri untuk menerima kritikan dan menerangkan pelaksanaan pembangunan oleh kerajaan kepada rakyat.
SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: