Sunday, 10 March 2019

MPKK Digesa Proaktif Tangani Denggi

SHARE


 Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN, 9 Mac - Kerajaan negeri  menyarankan kerjasama yang lebih proaktif daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam usaha mengawal dan mencegah pembiakan nyamuk aedes.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Wan Hapandi Wan Nik berkata, sebagai langkah permulaan setiap MPKK perlu mengadakan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengadakan program gotong royong secara berkala.

“Saya melihat kerjasama antara MPKK dan agensi agensi kerajaan untuk menangani masalah wabak denggi sangat berkesan.

“Yang penting penglibatan seluruh tenaga dari MPKK dan warga kampung untuk menjayakan program cegah nyamuk aedes sangat diperlukan,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas Program Gotong Royong Mega Siri 1/2019 Peringkat Negeri Terengganu, disini hari ini.


Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd Jusoh bertempat di Kampung Alur Tembesu turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Dungun, Rosdi Awang; Yang Dipertua (YDP) Dungun, Lizan Che Mat; Pegawai Kesihatan Daerah Dungun, Dr Aminuddin Ma’pol serta hampir 600 orang warga Dungun bagi menjayakan program berkenaan.

Wan Hapandi  juga menasihati orang ramai khususnya MPKK untuk mengenal pasti lokasi yang berisiko tinggi yang memerlukan operasi kebersihan secara gotong royong.

“Dengan cara ini, kita dapat menjaga persekitaran kampung sekaligus dapat mewujudkan kawasan zon bersih”, katanya.

Tambah beliau, MPKK juga boleh bekerjasama melalui Jawatankuasa Perubahan Tingkah Laku (COMBI) untuk mengadakan program program atau ceramah tentang kesedaran bahaya denggi.

Untuk rekod, sehingga 2 Mac 2019, kejadian kes denggi di Terengganu menunjukkan peningkatan sebanyak 176 kes iaitu 204 kes denggi berbanding 28 kes pada tahun 2018 dalam tempoh yang sama tanpa kes kematian dilaporkan.

SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: