Saturday, 2 March 2019

MB Puji Kematangan Rakyat Terengganu

SHARE
Dr. Samsuri menyampaikan sumbangan kepada penerima, Zakaria Muda, 55, yang hadir dengan berkerusi roda.
MARANG, 2 Mac - Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memuji rakyat Terengganu yang berdepan bencana Monsun Timur Laut (MTL) baru-baru ini, kerana mempamerkan sikap dan kerjasama yang baik sepanjang pengurusan bantuan dilaksanakan pihak berwajib.

"Terima kasih kepada rakyat terlibat yang dapat bertindak dengan tenang dan proaktif ketika bencana berlaku.

"Tindakan ini menggambarkan kematangan anggota masyarakat negeri ini dan saya berharap ia dapat diteruskan jika berlaku lagi pada masa akan datang," katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Wang Ehsan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABEN) Daerah Marang di Dewan Masjid Sultanah Nur Zahirah, di sini, hari ini.

MB Terengganu bangga di atas sikap rakyat negeri itu dalam menghadapi bencana.
Dalam majlis tersebut, seramai 113 penerima daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang dan Pengkalan Berangan menerima sumbangan berupa wang tunai RM500 bagi meringankan beban mereka.

Hadir sama, isteri beliau, Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A Rahman Yahya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong dan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Dalam pada itu, kenyataan Dr. Samsuri turut diakui Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Left. Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman yang turut hadir dalam majlis berkenaan.

"Sejak tiga tahun kebelakangan ini, penduduk di kawasan terlibat bencana mula membuka minda dalam aspek kesiapsiagaan di mana setiap ketua isi rumah telah faham prosedur dan lokasi penempatan lebih awal.

"Boleh saya katakan, minda mereka telah berubah lebih positif dalam menghadapi bencana hasil kerjasama pelbagai pihak dan agensi dalam Mesyuarat Pengurusan Bencana (MPB) yang dilaksanakan dua hingga tiga kali setahun," katanya.

Untuk rekod, KWABEN yang disalurkan kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) itu merupakan sumbangan Kerajaan Persekutuan bagi 1,051 keluarga yang terlibat berjumlah RM525,500.

Ia disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kepada kerajaan negeri dalam kunjungannya ke Terengganu pada akhir Februari lalu.

Tuan Faizah menyerahkan sumbangan kepada penerima wanita.


SHARE

Penulis: verified_user

0 komen: